
FELDA HUTAN PERCHA JADI PILIHAN NEGARA LUAR
MACHAP JAYA 15 Ogos – Felda Hutan Percha terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa apabila kawasan berkenaan sekali lagi bakal dipilih sebagai lokasi program pertukaran budaya membabitkan peserta dari Jepun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Hutan Percha Nizam Baharom berkata, pihaknya dimaklumkan lebih 50 peserta dari negara matahari terbit akan datang ke kampung itu pada September depan.
“Bagi rombongan dari Jepun ini saya difahamkan mereka mahu merasai sendiri kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya suasana kehidupan di kampung serta mengenali budaya dengan lebih dekat.
“Pastinya kami komuniti Felda Hutan Percha tidak sabar menanti kedatangan delegasi dari Jepun ini.
“Mungkin aktiviti dan program diadakan seakan Latihan Antarabangsa African-Asian Rural Development Organization (AARDO) namun pengisian bergantung kepada kehendak agensi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia ditemui selepas Program Latihan Antarabangsa ‘The Inclusive Rural And Regional Development In Malaysia’ (Majlis Perkahwinan) di Dewan Serbaguna Felda Hutan Percha, hari ini.
Menurut Nizam, kesinambungan program itu memberi peluang kepada penduduk Felda Hutan Percha khususnya menjadi duta kecil dalam memperkenalkan budaya dan cara hidup masyarakat Melayu kepada dunia.
Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada penduduk untuk memperkenalkan adat, budaya, seni serta kehidupan harian masyarakat kampung begitu juga dengan makanan
“Kedatangan rombongan antarabangsa secara berterusan membuktikan Felda Hutan Percha mempunyai daya tarikan tersendiri sebagai lokasi pertukaran budaya, sekali gus mengangkat nama Melaka dipersada dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

