KEENAKAN DODOL MELAKA JADI KENANGAN DELEGASI AFRIKA-ASIA

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

MACHAP JAYA 16 Ogos – Pengalaman lima hari di Malaysia sepanjang mengikuti latihan dan menginap di Felda Hutan Percha memberi pengalaman cukup bermakna buat Dr. Kareem Ahmad, dari Mesir.

Peserta Latihan Antarabangsa African-Asian Rural Development Organization (AARDO) itu berkata, kunjungan ke Felda Hutan Percha antara pengalaman menarik kerana berpeluang berinteraksi dengan masyarakat setempat serta menyaksikan adat dan budaya Melayu.

Katanya, keramahan penduduk tempatan turut membuatkan dia bersama rakan peserta lain berasa selesa walaupun terdapat perbezaan budaya antara mereka.

“Budaya di sini sangat kaya selain Malaysia juga mempunyai masakan yang sangat enak dengan pelbagai jenis hidangan dan saya amat menyukai dodol.

“Kami juga turut berpeluang mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat Melayu, menerusi majlis perkahwinan yang diadakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, program berkenaan turut memberi peluang kepadanya untuk mempelajari pelbagai perkara berkaitan bidang pertanian menerusi lawatan ke beberapa agensi penyelidikan.

“Ia benar-benar pengalaman yang sangat baik dan bermakna untuk kami apabila diberi pendedahan perkara baharu.

“Saya akan cuba mengaplikasikan apa yang telah dikongsi dan dipelajari sepanjang program ini di negara saya apabila pulang kelak,” katanya.

Jelasnya, dia juga ingin memohon maaf sekiranya terdapat sebarang perkara yang kurang selesa berkaitan budaya kerana mempunyai budaya yang sememangnya berbeza dengan masyarakat Melayu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

469
Kongsi :
Previous post 84 KOMUNITI MADANI JADI JENTERA AKAR UMBI SEMARAK KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG
Next post MAIM SALUR RM30,000 BANTU ADIK AIRA LAWAN KANSER LIMFOMA