‘MELAKA BILA LARUT MALAM’ BAWA NAFAS BAHARU KE PASAR BESAR BACHANG

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang bakal dihidupkan pada sebelah malam menerusi program ‘Melaka Bila Larut Malam’ yang akan menampilkan konsep Jualan Rahmah bagi menarik lebih ramai pengunjung serta membantu meningkatkan pendapatan peniaga.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, program berkenaan dicadangkan untuk dilaksanakan pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan, sekali gus menjadi tarikan baharu kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.

Menurutnya, cadangan itu dikemukakan susulan lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke pasar berkenaan sebelum ini yang turut memberi ruang kepada peniaga menyuarakan cabaran perniagaan mereka.

Katanya, antara cabaran dihadapi peniaga ialah persaingan daripada semakin banyak kompleks beli-belah dan pasar raya yang menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna.

“Konsepnya seperti Jualan Rahmah, tetapi dibuat pada minggu yang sama dengan program Melaka Bila Larut Malam, cuma tidak semestinya kita buat dari jam 10 malam hingga 2 pagi.

“Kita faham tidak mungkin orang hendak pergi membeli ikan atau barangan keperluan memasak pada waktu itu. Jadi, pelaksanaannya masih boleh dibincangkan dan diperhalusi, termasuk dari segi masa yang mungkin diawalkan, contohnya dari jam 6 petang hingga 10 malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Shadan berkata, setakat ini seramai 15 peniaga pasar berkenaan telah menyatakan persetujuan untuk menyertai program itu, manakala jumlah penyertaan dijangka bertambah selepas melihat sambutan pengunjung.

Menurutnya, pelaksanaan secara berkala pada minggu pertama setiap bulan juga diharap dapat membentuk kebiasaan dalam kalangan pengguna untuk berkunjung ke pasar berkenaan bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

“Tujuan utama Kerajaan Negeri dan MBMB ialah apabila kita adakan program ini setiap bulan, saya yakin orang awam akan tahu dan sekiranya pada awal bulan mereka hendak membeli barang dengan harga murah, mereka sudah tahu hendak datang ke mana.

“Secara tidak langsung ia dapat mempromosikan pasar ini dan peniaga-peniaga di sini, selain berpotensi menghidupkan semula suasana pasar pada sebelah malam sekiranya mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Katanya, sekiranya program itu mendapat sambutan positif, tidak mustahil operasi pasar berkenaan dapat diperluaskan ke waktu malam secara lebih konsisten pada masa hadapan.

“Kita hendak lihat dahulu maklum balas daripada pengunjung. Kalau mendapat sambutan ramai, tidak mustahil aktiviti perniagaan di pasar ini boleh dibuka pada waktu malam.

“Ini bukan sahaja memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah membuka peluang kepada peniaga untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, Shadan berkata, pelaksanaan program berkenaan turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), khususnya dari aspek penyertaan peniaga yang perlu memenuhi syarat ditetapkan bagi pelaksanaan Jualan Rahmah.

Beliau berkata, program itu berpotensi menjadi tarikan baharu kepada Pasar Besar MBMB Bachang selain memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

“Kita berharap usaha ini dapat menghidupkan kembali suasana pasar dan menjadikan Pasar Besar MBMB Bachang sebagai antara lokasi pilihan masyarakat untuk membeli barangan keperluan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

718
Kongsi :
Previous post FELDA HUTAN PERCHA JADI MODEL DESA DI PENTAS ANTARABANGSA – KKDW
Next post INKLUSIVITI DESA FELDA HUTAN PERCHA PUKAU DELEGASI 18 NEGARA