
AMBANG MERDEKA SEMARAKKAN WRUR TABOH NANING
AYER KEROH 19 Ogos – Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos ini bakal menjadi antara pengisian menarik memeriahkan pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning di Dataran Taman Sri Naning.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, sambutan yang dijadual bermula sekitar jam 10 malam itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Sri Naning serta beberapa agensi berkaitan.
Menurutnya, pelbagai aktiviti berunsur patriotik disusun bagi menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan, selain memberi peluang kepada masyarakat setempat meraikan detik bersejarah itu bersama-sama.
“Antara pengisian dirancang termasuk persembahan patriotik, program bersama Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka serta pertandingan pakaian kebangsaan untuk kanak-kanak.
“Pelbagai aktiviti menarik sempena Hari Kebangsaan akan diadakan termasuk memberikan sedikit penerangan atau ceramah berunsur patriotik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, sambutan itu turut membuka ruang kepada golongan belia untuk bersama-sama menjayakan aktiviti yang dirancang.
Katanya, penglibatan golongan muda dalam sambutan berkenaan penting bagi menyemarakkan semangat patriotisme, selain mewujudkan suasana lebih meriah dalam kalangan komuniti setempat.
“Kita harap lebih 1,000 pengunjung akan hadir memeriahkan sambutan ini dan bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan dalam suasana penuh muhibah.
“Selain meraikan Hari Kebangsaan, sambutan ini juga diharap dapat mengeratkan hubungan antara penduduk serta menggalakkan lebih ramai golongan muda dan keluarga menyertai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

