POLYCCSKILLS 2026: PMM WARRIORS RAIH EMPAT PINGAT

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MERLIMAU 18 Ogos – Pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PMM) berjaya membawa pulang empat pingat selepas memberikan saingan terbaik dalam tujuh bidang dipertandingkan pada Kejohanan Kemahiran PolyCCSkills 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos lalu.

Pengarah PMM Norizam Sekak berkata, kontinjen PMM Warriors meraih satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar menguasai kemahiran teknikal dan vokasional selain membina keyakinan untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi.

“Pelajar PMM bukan sahaja mempunyai pengetahuan teori, malah mereka mampu menterjemahkan ilmu kepada kemahiran praktikal yang boleh diuji dan dipertandingkan di peringkat lebih tinggi.

“Empat pingat yang diraih ini menjadi bukti bahawa usaha, latihan dan semangat juang yang ditunjukkan mereka membuahkan hasil,” katanya.

PMM Warriors meraih pingat emas menerusi bidang High Rope, manakala dua pingat perak masing-masing dalam bidang Kimpalan dan Landskap serta satu gangsa dalam bidang Geomatik.

Norizam berkata, pencapaian berkenaan turut disokong persediaan berterusan di bawah Jawatankuasa Latihan dan Pertandingan Kemahiran (JKC) PMM yang memberi tumpuan kepada latihan serta bimbingan peserta sebelum kejohanan.

“Paling penting ialah keberanian pelajar untuk mencabar diri dan membawa kemahiran dipelajari ke pentas pertandingan.

“Pencapaian ini membuktikan pendekatan PMM dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan pelajar berkemahiran, berdisiplin serta mempunyai daya saing untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

230
Kongsi :
Previous post OMSMC PERKUKUH KEMAHIRAN GP KESAN ‘RED FLAGS’ PESAKIT