PUTRA SPECIALIST HOSPITAL PERLUAS JARINGAN KESIHATAN KE SUMATERA BARAT

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka memperkukuh jaringan kesihatan rentas sempadan dengan Sumatera Barat, Indonesia menerusi kerjasama dalam bidang pelancongan kesihatan, rujukan pesakit serta pendidikan dan perkongsian kepakaran perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Mohd Zahiruddin Ahmad berkata, pertemuan bersama Gubernur Sumatera Barat, Mahyeldi Ansharullah, membuka ruang meneroka potensi kerjasama lebih luas, khususnya dalam mempromosikan pelancongan kesihatan antara kedua-dua wilayah.

Katanya, Melaka dan Sumatera Barat mempunyai persamaan dari aspek budaya, sejarah, warisan dan gastronomi yang boleh menjadi asas kepada pembangunan pakej pelancongan kesihatan rentas sempadan.

“Persamaan ini berpotensi menjadi asas kepada pendekatan baharu yang menggabungkan ‘travel for health’ dan ‘health with tourism’, iaitu pengunjung bukan sahaja mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti, malah berpeluang menikmati pengalaman pelancongan, budaya dan warisan di kedua-dua destinasi.

“Melaka sebagai bandar warisan dunia mempunyai kelebihan dari segi kemudahan hospital swasta dan kepakaran perubatan, manakala Sumatera Barat, khususnya Padang dan Bukittinggi, terkenal dengan kekayaan budaya Minangkabau, sejarah serta landskap pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zahiruddin berkata, PSH turut mencadangkan peningkatan jaringan pengangkutan antara kedua-dua destinasi, termasuk potensi mewujudkan penerbangan terus Melaka-Padang-Melaka pada masa depan.

Menurutnya, jaringan pengangkutan yang lebih baik bukan sahaja dapat merancakkan sektor pelancongan, malah membuka peluang kepada perkembangan pelancongan kesihatan, perdagangan, pendidikan dan pelaburan.

“Cadangan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pelancongan, malah berpotensi membuka laluan baharu kepada pertumbuhan pelancongan kesihatan, perdagangan, pendidikan, pelaburan dan hubungan masyarakat antara kedua-dua wilayah,” katanya.

Dalam pada itu, PSH sudah mempunyai Pusat Kolaborasi Medis di Universitas Fort De Kock (UFDK), Bukittinggi, yang menjadi penghubung bagi memperkukuh jaringan kesihatan rentas sempadan.

Mohd Zahiruddin berkata, pusat berkenaan membantu memudahkan akses dan proses rujukan pesakit dari Sumatera Barat ke PSH Melaka, termasuk mendapatkan maklumat perkhidmatan, koordinasi rujukan serta persediaan sebelum rawatan.

Katanya, kerjasama dengan UFDK turut membuka peluang dalam bidang pendidikan kesihatan, latihan, perkongsian kepakaran dan program akademik, selain berpotensi diperluas kepada pembangunan profesional serta penyelidikan.

“Kerjasama berkenaan boleh berkembang daripada sekadar jaringan rujukan pesakit kepada satu koridor pelancongan, kesihatan dan budaya yang saling melengkapi antara Melaka dan Sumatera Barat.

“Rakyat Malaysia berpeluang meneroka keunikan Sumatera Barat, manakala masyarakat Sumatera Barat pula mempunyai akses kepada pilihan rawatan dan kepakaran kesihatan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab kesihatan serantau menerusi pengembangan ekosistem pelancongan kesihatan yang menekankan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pesakit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

403
Kongsi :
Previous post POLYCCSKILLS 2026: PMM WARRIORS RAIH EMPAT PINGAT