
KARNIVAL CIMIC: 19 AKTIVITI MENARIK MENANTI, DARI KAPAL PERANG HINGGA AKSI KOMANDO
BANDARAYA MELAKA 22 Ogos – Sebanyak 19 aktiviti menarik disediakan menerusi Karnival Kerjasama Awam-Tentera (Civil-Military Cooperation – CIMIC) bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali dengan lebih dekat peranan, kepakaran dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, karnival anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM dengan kerjasama Kerajaan Negeri itu dirangka bukan sahaja sebagai pameran ketenteraan, malah platform memperkukuh hubungan antara tentera dan masyarakat awam.
Katanya, pelbagai pengisian disusun merangkumi pameran aset pertahanan, pertunjukan ketenteraan, aktiviti interaktif, kerjaya, kesihatan dan komuniti yang sesuai dinikmati pengunjung pelbagai peringkat umur.
“CIMIC memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih mengenali peranan, kepakaran dan keupayaan tentera selain daripada tugas peperangan.
“Pada masa sama, ia menggalakkan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menekankan bahawa keselamatan dan pertahanan negara merupakan tanggungjawab bersama antara tentera dan rakyat,” katanya ketika bersiaran di MELAKAfm bagi membicarakan aspek Persediaan Logistik, Keselamatan dan Perpaduan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026.
Menurut Hee Sem, antara tarikan utama adalah pameran tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bakal berlabuh di Klebang, selain pameran statik aset pertahanan termasuk meriam artileri serta kenderaan tempur dan taktikal.
Katanya, pengunjung turut berpeluang melihat pameran Hospital Medan, pameran Bomba Tentera Darat (TD) dan demonstrasi memadam api, selain simulasi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pameran senjata kecil.
“Bagi yang gemarkan aksi mendebarkan, kita ada persembahan Army Red Warrior, pertunjukan Guns In Action, Demonstrasi Tanpa Senjata (TTS), demonstrasi anjing perang K9 dan Persembahan Kawad Senyap.
“Kita juga ada pertunjukan Heli Air Show dan Aircraft Flying Pass, Demonstrasi Commando Storm serta demonstrasi bot laju dan pameran kapal TLDM,” katanya.
Beliau berkata, CIMIC turut menyediakan pengisian yang memberi peluang kepada orang awam mencuba pengalaman berkaitan kehidupan dan tugas anggota tentera.
Antaranya ialah Survival Village yang mempamerkan teknik ikhtiar hidup, Army Warrior Challenge, demonstrasi memasak medan serta persembahan buskers tentera.
“Bagi anak muda yang berminat dengan kerjaya dalam bidang pertahanan dan keselamatan, turut disediakan Pameran Kerjaya ATM dan agensi seperti PDRM, Bomba, SPR, PERHEBAT dan JHEV.
“Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma sepanjang karnival berlangsung,” katanya.
Karnival CIMIC akan berlangsung sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka di Dataran 1 Malaysia, Klebang pada 29 hingga 31 Ogos ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


