UPNM BUKAN SEKADAR BINA KEMUDAHAN, BENTUK JATI DIRI MASYARAKAT ALAI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TELOK MAS 22 Ogos – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberi tumpuan terhadap pembentukan jati diri, sahsiah dan nilai patriotisme masyarakat Kampung Alai menerusi Program Santuni MADANI.

Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen universiti berkenaan untuk membina hubungan jangka panjang dengan masyarakat.

Menurutnya, Program Santuni MADANI merupakan kesinambungan Program Kampung Angkat MADANI 2025 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dengan peruntukan RM1 juta.

“UPNM tidak mahu sekadar hadir ke sesebuah komuniti untuk melaksanakan program. Sebaliknya, kita mahu membina hubungan jangka panjang yang memberi manfaat antara universiti dengan masyarakat.

“Program ini adalah manifestasi UPNM untuk menjadi sebuah universiti yang sentiasa dekat dengan masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan insan serta kesejahteraan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ajak Sekampung Santuni MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Alai di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Arman berkata, sebagai sebuah universiti pertahanan, UPNM melihat pembangunan masyarakat bukan hanya dari sudut fizikal dan akademik, tetapi merangkumi pembentukan sahsiah, jati diri, nilai murni, patriotisme, kepimpinan dan ketahanan diri.

Katanya, pendekatan itu diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif yang menyentuh pelbagai lapisan masyarakat Kampung Alai.

“Antaranya pertandingan futsal yang memanfaatkan gelanggang futsal baharu yang dibina di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI, Program Maulidur Rasul, Kem Jati Diri, Program Tahsin Ibadah dan Fardu Ain serta Kem Transformasi Perwira: Membina Karakter, Menyemarak Patriotisme.

“Pelaksanaan program ini turut melibatkan kerjasama universiti, komuniti, masjid, sekolah, pemimpin masyarakat dan keluarga bagi mewujudkan ekosistem pembangunan insan yang lebih kukuh dan berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

603
Kongsi :
Previous post KARNIVAL CIMIC: 19 AKTIVITI MENARIK MENANTI, DARI KAPAL PERANG HINGGA AKSI KOMANDO
Next post KETUA MENTERI TURUN PADANG JUMPA RAKYAT MACHAP JAYA, ASAHAN ESOK