JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT, TAK TUNGGU RAKYAT CARI YB

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

MACHAP JAYA 23 Ogos – Atas dasar memikul amanah dan kepercayaan diberikan pada pilihan raya yang lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh lebih selesa turun padang berjumpa rakyat berbanding menunggu rakyat untuk datang berjumpa beliau.

Malah katanya, pendekatan sama turut menjadi amalan semua Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ketua jabatan serta agensi seluruh Negeri Melaka.

Berikutan itu beliau langsung tidak terasa hati sekiranya masih ada suara-suara yang mengatakan program turun padang seperti Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat adalah sekadar kempen pilihan raya.

“Hakikatnya, budaya ini bukanlah baru kita mulakan semalam, bukan juga baru kita gerakkan apabila pilihan raya semakin hampir. Sebaliknya sejak hari pertama saya diberi amanah mengemudi negeri ini, inilah cara kita bekerja.

“Kita tidak hanya menunggu rakyat datang kepada kerajaan, tetapi barisan kepimpinan negeri inilah yang turun mendekati rakyat. Dari satu DUN ke satu DUN, kampung ke taman perumahan, pintu ke pintu untuk memastikan tiada satu suara pun tercicir, tiada satu keperluan dipandang sepi.

“Ini semua berpaksikan rakyat, kerana bagi saya daripada rakyat kita mendapat mandat, kepada rakyat kita kembali berkhidmat dan untuk rakyat jugalah segala usaha ini kita gerakkan,” kata Ketua Menteri.

Beliau yang juga Adun Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di Dewan Terbuka Felda Tun Ghafar, Menggong, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Adun Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem.

Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Ab Rauf berkata, pemimpin perlu turun bersama rakyat, duduk semeja mendengar sendiri apa yang mereka rasa dan menyelami sendiri kesusahan dilalui bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Kerana dari situlah kita akan tahu apa yang sebenarnya rakyat perlukan. Atas sebab itulah di Melaka kita wujudkan pelbagai ruang untuk pemimpin turun bertemu rakyat, daripada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), kita teruskan dengan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

275
Kongsi :
Previous post TOK RAUF PUJI KOMITMEN, KEGIGIHAN AH SEM
Next post PEMBANGUNAN DUN MACHAP JAYA FOKUS KEPADA KESELESAAN RAKYAT