
PEMBANGUNAN DUN MACHAP JAYA FOKUS KEPADA KESELESAAN RAKYAT
MACHAP JAYA 23 Ogos – Pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya terus diperkasa menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur, perumahan dan kemudahan komuniti bernilai jutaan ringgit bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pelbagai penambahbaikan dan projek pembangunan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keperluan masyarakat di kawasan itu mendapat perhatian sewajarnya.
“Pada 2026 sahaja sebanyak tujuh projek bernilai RM720,000 dilaksanakan di DUN Machap Jaya membabitkan infrastruktur dan kemudahan komuniti di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi pelaksanaan GiatMARA.
“Pelaksanaan projek ini membabitkan penambahbaikan infrastruktur dan penyediaan kemudahan komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Machap Jaya yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Dewan Terbuka Kampung Baru Menggong, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan.
Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Menurut Hee Sem, Projek Perumahan Rakyat Sejahtera di DUN Machap Jaya bagi tempoh 2022 hingga Mac 2026 berjaya melaksanakan 61 projek membabitkan pembinaan rumah baharu dan kerja baik pulih rumah sedia ada.
“Daripada jumlah itu, sembilan projek membabitkan pembinaan rumah baharu manakala 52 lagi adalah projek baik pulih rumah sedia ada dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.754 juta.
“Selain itu, di DUN Machap Jaya juga menerima sebanyak 68 batang lampu solar yang akan dipasang di jalan raya utama sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Hee Sem berkata, penduduk di DUN itu juga bakal menerima sebuah masjid baharu menerusi pembinaan Masjid Lesong Batu yang kini dalam proses pembinaan.
“Masjid yang bernilai RM6.7 juta kini telah siap 75 peratus dan apabila siap kelak mampu menampung lebih 800 jemaah pada satu-satu masa. Malah untuk penduduk Tebong pula sebanyak RM500,000 peruntukan disalurkan bagi pembinaan dewan terbuka,” katanya.
Jelas beliau, pelaksanaan pelbagai projek berkenaan membuktikan pembangunan di DUN Machap Jaya terus diberi perhatian menerusi penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


