KARNIVAL ANAK MUDA BUKA PELUANG BELIA ‘CARI MAKAN’ DI NEGERI SENDIRI

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 7 September – Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 4,5 dan 6 September membuka ruang kepada belia untuk berinteraksi, membina jaringan selain meneroka peluang ekonomi selain menyuarakan aspirasi mereka.

Tinjauan Melaka Hari Ini sebelum karnival tersebut menutup tirai di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), mendapati rata-rata pengunjung menyambut baik pendekatan Kerajaan Negeri yang dilihat lebih santai, terbuka dan dekat dengan kehidupan serta keperluan generasi muda.

Bagi pengunjung dari Taman Bidara Permai, Masjid Tanah, Mohd Khairul Ashraf Mohd Azmi, 28, penganjuran karnival itu membuktikan golongan belia bukan sekadar diraikan menerusi hiburan, sebaliknya diberikan ruang untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti dan peluang yang memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, penganjuran itu wajar diteruskan sebagai acara tahunan kerana manfaatnya bukan sahaja dirasai golongan belia, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan usahawan muda.

“Pada saya karnival ini memang bagus dan wajar diadakan lagi serta dijadikan acara tahunan kerana ia bukan memberi manfaat kepada golongan belia sahaja, tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada peniaga yang juga dalam kalangan orang muda.

“Saya sangat berbangga kerana Melaka sentiasa mempunyai program menarik yang memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama terlibat,”katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG 20260906 WA0038
MUHAMMAD Darwisy Eirfan.

Sementara itu, Muhammad Darwisy Eirfan Mohd Rasyid, 21, dari Batu Berendam berkata, penganjuran karnival tersebut berjaya menghimpunkan golongan muda daripada pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni.

Menurutnya, kehadiran komuniti usahawan, ibu muda dan belia dari seluruh negeri menjadikan karnival itu bukan sekadar ruang bersantai, malah platform untuk mengenali peluang serta membina jaringan sesama anak muda.

“Karnival ini meskipun khusus untuk orang muda namun ia berjaya menghimpunkan pelbagai latar belakang kaum, komuniti usahawan, ibu muda dan belia seluruh negeri ini secara harmoni.

“Acara tiga hari ini bukan sahaja seronok, malah membuka mata menerusi pelbagai aktiviti dan program yang padat,” katanya.

IMG 20260906 WA0037
MOHAMAD Afiq Danish.

Nada sama turut disuarakan Mohamad Afiq Danish Nor Rizan, 17, dari Batu Berendam, katanya, penganjuran karnival berkenaan pula memberi gambaran bahawa suara dan keperluan golongan muda semakin diberi perhatian dalam agenda pembangunan negeri.

Katanya, peluang yang disediakan menerusi program sedemikian penting bagi memastikan golongan muda mempunyai lebih banyak ruang untuk mengembangkan potensi serta mencari peluang ekonomi tanpa perlu bergantung kepada peluang di luar Melaka.

“Memang seronok dan kami golongan muda terasa dihargai. Kalau boleh, laksanakan karnival ini lebih kerap supaya peluang untuk kami ‘mencari makan’ di negeri sendiri lebih luas dan terbuka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post PENGANGGURAN 1.6 PERATUS BUKAN ‘JATUH DARI LANGIT’, HASIL KERJA KERAS MELAKA – TPM
Next post PENJAJA BERSEMANGAT MAHU ‘MERIAHKAN’ LAMAN SANTAI SRI NANING