ZOO MELAKA, UTM GABUNG KEPAKARAN BANGUNKAN FASILITI MESRA HIDUPAN LIAR

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 11 September – Kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Zoo Melaka membuka ruang kepada pembangunan fasiliti hidupan liar yang lebih kukuh, tahan lasak dan pada masa sama mengambil kira keperluan semula jadi haiwan.

Inisiatif itu direalisasikan menerusi Kursus Komuniti dan Perpindahan Ilmu Pembinaan ‘Artificial Hardscape’ (Simen Fero) yang disertai 30 peserta daripada pelbagai agensi dan institusi berkaitan.

Pengurus Strategi dan Hubungan Luar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Ts. Mohd Hazri Ishak berkata, penggunaan teknologi simen fero bukan bertujuan menggantikan elemen semula jadi dalam habitat haiwan, sebaliknya sebagai struktur sokongan dan penambahbaikan kepada fasiliti sedia ada.

“Contohnya, harimau masih memerlukan pokok untuk mencakar, jadi simen fero digunakan sebagai tapak atau asas bagi menyokong pokok berkenaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, kerjasama itu menggabungkan kepakaran UTM dalam teknologi simen fero dengan pengalaman Zoo Melaka dalam aspek kebajikan serta pengurusan hidupan liar.

WhatsApp Image 2026 09 10 at 8.34.38 PM (1)
ANTARA fasiliti ‘hardscape’ yang dihasilkan peserta.

Katanya, menerusi kursus berkenaan peserta didedahkan kepada teknik pembinaan struktur menggunakan kaedah simen fero termasuk pembentukan rangka, lapisan simen dan kerja kemasan.

“Perkongsian ilmu ini penting supaya teknologi yang digunakan benar-benar bersesuaian dengan keperluan fasiliti dan tidak menjejaskan kebajikan haiwan.

“Kita berharap kerjasama ini dapat diteruskan dengan mengenal pasti keperluan sebenar haiwan dan seterusnya membangunkan fasiliti yang lebih bersesuaian,” katanya.

Kerjasama itu turut membuka peluang kepada perkongsian kepakaran secara berterusan antara institusi akademik dan pengurusan zoo, sekali gus menggalakkan penerapan teknologi dalam pembangunan fasiliti hidupan liar tanpa mengetepikan aspek kebajikan serta keperluan semula jadi haiwan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1346
Kongsi :
Previous post WRUR TANJUNG BIDARA JADI TUMPUAN, SIRI TERAKHIR SELEPAS JELAJAH 28 DUN