
ALUNAN SELAWAT BERGEMA DI AYER LIMAU
AYER LIMAU 12 September – Hampir 1,000 umat Islam memeriahkan Program Ayer Limau Berselawat ‘Mahabbah Cinta Rasul’ yang diadakan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program yang berlangsung di Dewan Terbuka Taman Datuk Setia, itu merupakan antara pengisian keagamaan sempena WRUR.
Katanya, penganjuran program keagamaan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila masyarakat setempat hadir bersama-sama mengimarahkan majlis dengan selawat dan ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin.

“Program dimulakan dengan beberapa pengisian seperti persembahan nasyid, solat berjemaah, selawat sebelum ceramah bermula.
“Untuk Program Ayer Limau Berselawat ini kedatangan boleh dikatakan hampir 1,000 penduduk yang bersama-sama mengimarahkan majlis agama ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, pelbagai program telah disusun sepanjang tempoh pelaksanaan WRUR bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat termasuk pengisian berbentuk keagamaan yang dilaksanakan di masjid DUN Ayer Limau.
“Dalam DUN Ayer Limau terdapat sembilan masjid dan kita telah mengadakan ceramah agama di masjid-masjid ini dengan menampilkan tokoh agama untuk berkongsi ilmu dan pengisian kepada masyarakat.
“Malah program program Ayer Limau Berselawat ‘Mahabbah Cinta Rasul’ diadakan ini merupakan antara pengisian keagamaan yang kita adakan sepanjang pelaksanaan WRUR DUN Ayer Limau,” katanya.
Jelasnya, diharapkan pengisian yang dilaksanakan sepanjang WRUR memberi manfaat serta mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dengan masyarakat setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

