
‘AYAH SAYA TAK CEMERLANG’, LUAHAN ANAK CETUS USAHA HAMEED RAI MURID PENDIDIKAN KHAS
AYER LIMAU 11 September – “Ayah, saya tak cemerlang.” Itu luahan ringkas anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang enggan ke sekolah ketika sambutan murid cemerlang menjadi titik mula kepada usaha beliau meraikan murid kelas pemulihan dan Pendidikan Khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau.
Hameed berkata, pengalaman anaknya yang ketika itu berdepan kesukaran membaca membuka matanya terhadap perasaan murid yang mungkin berasa diri mereka tidak setanding dengan rakan-rakan lain.
“Antara sebab kenapa saya meraikan golongan ini kerana ketika itu anak saya termasuk dalam kelompok ini dan lambat membaca.
“Sampai satu masa, saya berjumpa guru kelasnya dan guru itu menasihati saya supaya memberikan perhatian, membeli modul dan sebagainya.
“Perkara itu membuatkan saya terfikir apabila anak saya mengadu tidak mahu ke sekolah kerana merasakan dirinya tidak layak diraikan dalam sambutan murid cemerlang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspedisi Lestari sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Limau di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Limau, di sini, pada Khamis.
Menurut Hameed, pengalaman berkenaan mendorongnya bersama guru-guru untuk turut memberikan penghargaan kepada murid Pendidikan Khas sebagai suntikan motivasi dan tanda bahawa mereka juga mempunyai kelebihan yang wajar diraikan.
“Itu menjadi semangat untuk saya bersama guru memberikan hadiah kepada murid Pendidikan Khas sebagai motivasi dan semangat bukan sahaja kepada anak saya, tetapi juga rakan-rakan yang sama dengannya,” katanya.
Katanya, hampir empat tahun selepas pengalaman itu, pelbagai program pembangunan minda, sukan dan pertandingan khusus untuk murid kelas pemulihan serta Pendidikan Khas terus dilaksanakan dalam DUN Ayer Limau.
Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sekadar memberikan hadiah, sebaliknya menyediakan ruang kepada golongan berkenaan merasai pengalaman menjadi pemenang dan dihargai atas kemampuan masing-masing.
“Mungkin di sekolah mereka tidak akan mendapat penghargaan kerana keputusan peperiksaan dan kedudukan mereka. Tetapi kita beri mereka ruang.
“Apabila mereka berjaya dalam kelompok sendiri, ia boleh menimbulkan motivasi bahawa mereka juga boleh melakukan sesuatu.
“Kadang-kadang mereka ini selalu ditinggalkan dan dianggap tidak mempunyai masa depan. Walhal mereka juga manusia yang boleh berjaya dan perlu diraikan,” katanya.
Dalam pada itu, Hameed berkata, perhatian sama turut diberikan kepada murid Pendidikan Khas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di DUN Ayer Limau menerusi aktiviti yang disesuaikan dengan kemampuan mereka.
“Kita kena pacu mereka dan bawa mereka ke arah yang sesuai dengan kemampuan yang ada.
“Alhamdulillah, anak saya kini sedang belajar diploma. Jadi saya percaya, kalau kita beri perhatian dan ruang yang betul, mereka juga mampu pergi jauh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


