
ILMU MESTI DITERJEMAH, BUKAN SEKADAR DISIMPAN
BANDA HILIR 12 September – Hasil penyelidikan dan penemuan akademik perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat, bukan sekadar kekal sebagai ilmu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini berkata, setiap kajian yang dihasilkan perlu mempunyai nilai guna dan berupaya membantu menangani permasalahan sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Kita perlu memastikan setiap hasil kajian bukan sekadar menambah ilmu, tetapi boleh digunakan untuk membantu masyarakat dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
“Justeru, usaha ini memerlukan kerjasama antara ahli akademik, penyelidik dan pengamal industri supaya ilmu serta penemuan yang dihasilkan dapat dikembangkan menjadi penyelesaian yang lebih praktikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Seni Kreatif & Sains Sosial Ke-2 2026 (CASSIC 2026) yang disempurnakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.
Persidangan anjuran UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka itu membawa tema ‘Advancing Social Science Pathways for Sustainable Development and Inclusive Futures’.
Prof. Mohd Rasdi berkata, CASSIC 2026 menjadi platform menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pengamal industri dari dalam serta luar negara untuk berkongsi kepakaran dan membincangkan pendekatan terhadap cabaran masyarakat semasa.
“CASSIC 2026 memberi tumpuan kepada tiga landasan iaitu Pendidikan Sepanjang Hayat dan Masa Depan Pembelajaran Inklusif, Kecerdasan Buatan (AI) dan Adaptasi dalam Kehidupan Seharian serta Perniagaan Mampan, Ekonomi dan Kehidupan Masa Depan.
“Inisiatif ini selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang memperjuangkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan manusia,” katanya.
Antara rakan strategik CASSIC 2026 ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia, UiTM Cawangan Sarawak, City University Malaysia dan Telkom University, Indonesia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


