MBMB TEGAS SOAL KEBERSIHAN, TUJUH PREMIS TERIMA NOTIS

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 12 September – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan tujuh Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) bernilai RM4,000 kepada pengusaha premis makanan yang didapati gagal mematuhi aspek kebersihan dalam Operasi Penguatkuasaan Kawal Selia (Ops PEKASE) Bersepadu, pada Rabu.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, operasi berkenaan dijalankan bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka membabitkan pemeriksaan premis makanan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu dan Kesidang.

“Sebanyak tujuh NPK bernilai RM4,000 dikeluarkan kepada pengusaha premis yang terbabit selepas pasukan penguatkuasaan mendapati mereka gagal menjaga kebersihan kawasan premis seperti yang ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, dalam operasi sama, SWCorp turut mengeluarkan dua Notis Pematuhan di bawah Seksyen 7(1)(b), Peraturan 8(1) Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di bawah Skim Bagi Sisa Pepejal Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian 2018.

“Notis berkenaan dikeluarkan atas kesalahan tidak melantik pemegang lesen pemungutan sisa berdaftar yang dikeluarkan pihak SWCorp.

“Kerjasama semua pengusaha premis amat penting dalam memastikan aspek kebersihan dan pengurusan sisa pepejal sentiasa diberi perhatian supaya kawasan premis berada dalam keadaan bersih,” katanya.

Shadan berkata, tindakan penguatkuasaan itu penting bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan sentiasa dipelihara, sekali gus menjamin persekitaran bandaraya yang bersih, selesa dan kondusif untuk masyarakat.

Beliau turut mengingatkan pengusaha premis supaya tidak mengambil mudah aspek kebersihan serta pengurusan sisa pepejal dan memastikan semua keperluan ditetapkan pihak berkuasa dipatuhi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

447
Kongsi :
Previous post ALUNAN SELAWAT BERGEMA DI AYER LIMAU
Next post ILMU MESTI DITERJEMAH, BUKAN SEKADAR DISIMPAN