MELAKA CADANG TUBUH MCDU PANTAU PELAKSANAAN SEMUA PROJEK, INISIATIF

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 11 September – Kerajaan Negeri bercadang menubuhkan Melaka Coordination and Delivery Unit (MCDU) sebagai mekanisme baharu bagi memastikan semua inisiatif Kerajaan Negeri, projek pembangunan serta projek kerjasama awam-swasta dipantau secara menyeluruh.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh berkata, penubuhan unit itu merupakan antara langkah memperkukuh jentera pelaksanaan perancangan Kerajaan Negeri, khususnya dari aspek koordinasi dan pemantauan.

Katanya, pelbagai program dan projek pembangunan ekonomi yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, termasuk menerusi inisiatif belanjawan, memerlukan koordinasi bersepadu bermula daripada peringkat pelaksanaan hingga pemantauan bagi memastikan keberhasilan yang ditetapkan dapat dicapai.

“Bagi menambah baik pemantauan pelaksanaan projek dan inisiatif ini, saya mencadangkan penubuhan satu unit baharu iaitu MCDU yang berperanan memastikan semua inisiatif Kerajaan Negeri, projek-projek Kerajaan serta projek kerjasama awam-swasta dapat dipantau dengan lebih komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Perjumpaan SUK Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat @Limat; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Salhah turut menekankan kepentingan jabatan dan agensi memperkukuh peranan menerusi One Stop Centre (OSC) bagi Kebenaran Merancang supaya setiap perancangan projek dapat direalisasikan dengan lebih segera.

“Kecekapan dan kesegeraan dalam pelaksanaan projek bukan sahaja mempercepat pembangunan, malah memberikan imej positif kepada pelabur dan entiti perniagaan terhadap kecekapan serta daya saing Negeri Melaka, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post PENDEKATAN M.E.L.A.K.A JADI PEDOMAN – SUK
Next post MCDU BAKAL TANGANI ‘PROJEK SAKIT’ DI MELAKA – SUK