TELOK BEREMBANG JADI ‘PENTAS’ NELAYAN DARAT, 30 PERAHU BERHIAS SEMARAK MERDEKA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER LIMAU 12 September – Kreativiti nelayan darat dari beberapa kawasan di utara Melaka mencuri perhatian apabila sebanyak 30 perahu dihiasi dengan pelbagai dekorasi bertemakan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Istimewanya, perahu berkenaan kemudiannya berarak menelusuri Sungai Linggi di Telok Berembang sempena Festival Sungai Melaka 2026 Daerah Alor Gajah anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, pertunjukan perahu berhias itu merupakan edisi kedua dianjurkan pihaknya sebagai usaha mendekati komuniti nelayan darat, khususnya yang terlibat dengan aktiviti di Sungai Linggi.

Jelasnya, antara komuniti nelayan yang terlibat adalah dari Telok Berembang, Ramuan China Kecil, Paya Lebar, Sungai Timun dan Sungai Mati.

“Alhamdulillah, ini adalah tahun kedua kita mengadakan pertunjukan perahu berhias. Tahun pertama hampir 20 buah bot mengambil bahagian dan tahun ini jumlah itu meningkat kepada 30 buah bot berhias.

“Pada tahun ini juga sambutan daripada pengunjung amat luar biasa dan kreativiti nelayan-nelayan darat ini juga lebih memberangsangkan dengan hiasan perahu berkonsepkan patriotik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Festival Sungai Melaka 2026 Daerah Alor Gajah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang turut diserikan dengan kehadiran Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer di Jeti Telok Berembang, di sini, hari ini.

Shaharul Azuar berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar memberi ruang kepada nelayan darat menampilkan kreativiti, malah menjadi platform PPSPM mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat.

Katanya, usaha itu penting memandangkan PPSPM turut memiliki produk pelancongan berasaskan sungai menerusi Eco Cruise Sungai Linggi yang berpotensi memberi manfaat kepada komuniti nelayan di kawasan berkenaan.

“Tujuan utama kita adalah untuk mendekati nelayan-nelayan darat ini. Kita ada Eco Cruise Sungai Linggi dan sebab itu kita mahu hubungan yang baik dengan komuniti nelayan terus diperkukuhkan.

“Pada masa sama, kita mahu mereka bersama-sama melihat potensi sungai ini sebagai satu aset yang boleh dibangunkan untuk aktiviti pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

692
Kongsi :
Previous post 110 KEDIAMAN UZUR DIGANTI BAHARU SEPANJANG PENTADBIRAN TOK RAUF
Next post AB RAUF PEMIMPIN YANG BERKHIDMAT, IKHLAS BANTU RAKYAT