
MELAKA SASAR 5,000 PROGRAM KRT TAHUN INI
TANJUNG BIDARA 16 September – Sebanyak 5,000 program membabitkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) disasarkan akan dilaksanakan di seluruh Melaka sepanjang tahun ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata sasaran itu meningkat berbanding kira-kira 4,700 program yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
Katanya, peningkatan jumlah program itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh penglibatan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
“Program KRT bukan hanya tertumpu kepada aktiviti perpaduan, malah menjadi platform menghimpunkan masyarakat menerusi pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Kita anjurkan sekitar 4,700 program sepanjang 2025. Tahun ini kita sasarkan sebanyak 5,000 program termasuk semua KRT di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT Mini Karnival Semarak Perpaduan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara yang dirasmikan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjug Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta kenamaan lain.
Dalam program sama, seramai 12 individu turut menerima sumbangan kit makanan yang disampaikan pada majlis berkenaan.
Hee Sem berkata, penganjuran program secara berterusan di peringkat komuniti turut melengkapkan pendekatan WRUR yang memberi ruang kepada wakil rakyat untuk turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.
Katanya, pelbagai aktiviti seperti sukaneka, pertandingan memasak dan mewarna yang dianjurkan dalam program berkenaan berjaya menarik penyertaan masyarakat pelbagai peringkat umur.
“Jabatan Perpaduan bukan sahaja menganjurkan program melalui WRUR, malah sepanjang masa kita memang ada program yang dijalankan melalui KRT di seluruh Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


