
BERPIDATO BENTUK JATI DIRI, BINA KARAKTER ANAK MELAKA
AYER KEROH 18 September – Penganjuran Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka membantu anak muda membina karakter dan meningkatkan tahap keyakinan diri.
Pemenang tempat ketiga Kategori Sekolah Menengah Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 Muhamad Akif Mikhail Abdul Malek, 15, berkata pendedahan diterima sepanjang menyertai pertandingan itu amat berguna buat dirinya.
Pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah ini berkata, pertandingan itu juga menguji ketahanan mental dan fizikalnya kerana berdepan kekangan masa sepanjang melakukan persiapan.
“Sebagai seorang pelajar sekolah berasrama penuh saya perlu membahagikan masa antara pelajaran, latihan pidato dan kehidupan sosial.
“Sebenarnya saya masih baru di pentas pidato, baru bermula tahun ini dan sedang dalam proses untuk berjinak-jinak. Alhamdulillah, selepas melalui tapisan saya berjaya ke pertandingan akhir dan memperoleh tempat ketiga,” katanya ketika ditemui selepas Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2026 Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada Isnin.
Muhamad Akif turut mengakui kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa doa serta sokongan ibu bapa dan guru yang sentiasa memberikan dorongan kepadanya.
Dia menyifatkan kejayaan itu sebagai rezeki kerana hanya mempunyai tempoh kira-kira seminggu untuk membuat persiapan sebelum pertandingan.
“Alhamdulillah, selepas penantian lama dan berlatih selama seminggu, saya dapat apa yang diinginkan. Walaupun kita mahukan keputusan lebih baik, tetapi saya anggap ini sebagai rezeki daripada Allah SWT dan akan berusaha lebih keras pada masa akan datang,” katanya.
Pada pertandingan sama seorang lagi anak Melaka iaitu Nur Awadah Mohd Adli, 14, mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas diumumkan Johan bagi Kategori Sekolah Menengah.
Sementara itu wakil Melaka bagi Kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Najihah Kasim, 21, dari Universiti Malaya (UM), turut mencipta kejayaan apabila meraih tempat keempat dalam pertandingan berkenaan.
Pencapaian itu, sekali gus melengkapkan kejayaan wakil Melaka yang membawa pulang Johan, tempat ketiga dan tempat keempat menerusi dua kategori pertandingan, sekali gus membuktikan keupayaan anak negeri ini mampu bersaing di pentas pidato peringkat kebangsaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


