
ANAK MELAKA PERLU REBUT PELUANG BIASISWA PETRONAS
TANJUNG BIDARA 18 September – Anak Melaka perlu merebut peluang pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk tawaran biasiswa Petronas bagi membina masa depan lebih cerah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peluang berkenaan perlu dimanfaatkan sebaiknya memandangkan hanya 14 daripada 600 penerima biasiswa Petronas ketika ini merupakan anak Melaka.
Beliau berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian supaya lebih ramai pelajar dari negeri ini berani menyahut peluang melanjutkan pengajian dalam bidang STEM, sekali gus membuka laluan kepada kerjaya berkemahiran tinggi.
“Kita harap selepas ini sekurang-kurangnya seramai 250 orang anak Melaka dari Sungai Rambai sampai Kuala Linggi yang dapat biasiswa ini daripada Petronas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Powering Knowledge STEM Discovery @ School 2026 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bidara, pada Khamis.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor; Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan Mohd Zaki Mahat; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim dan Guru Besar SK Tanjong Bidara Mohd Nasri Sahat.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, minat pelajar Melaka terhadap STEM menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 4,831 pelajar memilih pakej STEM pada tahun ini.
Katanya, jumlah itu meningkat 1,225 pelajar berbanding 3,606 pelajar sebelum ini, manakala 71 daripada 77 sekolah menengah kerajaan di Melaka atau 92.2 peratus telah menawarkan pakej STEM pada 2026.
“Melaka terus melakar pencapaian yang amat membanggakan pada tahun ini dalam bidang STEM.
“Kita menyaksikan lonjakan ketara seramai 1,225 pelajar yang memilih pakej STEM, sekali gus melonjakkan jumlah keseluruhan kepada 4,831 pelajar berbanding hanya 3,606 pelajar pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


