
PARAKOM LAHIRKAN HAMPIR 2,000 SUKARELAWAN SEJAK DIPERKENALKAN
TANJUNG BIDARA 22 September – Paramedik Komuniti (PARAKOM) telah melahirkan hampir 2,000 sukarelawan sejak diperkenalkan hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 2023.
Inisiatif dilaksanakan itu secara tidak langsung meningkatkan mutu perkhidmatan kecemasan Negeri Melaka dengan penglibatan komuniti tempatan yang amat menggalakkan.
Eksekutif Sumber Manusia St John Ambulans Malaysia (SJAM) Melaka Mohamad Fuad Rosman berkata, jumlah tersebut merangkumi penyertaan sejak awal pelaksanaan program itu sehingga tahun ini.
“Bagi 2026 sahaja kira-kira 400 peserta telah mengikuti latihan PARAKOM yang dilaksanakan menerusi enam kursus Tahap Satu dan empat kursus Tahap Dua.
“Jumlah sukarelawan dijangka terus meningkat sekiranya latihan berkenaan diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fuad berkata, penyertaan masyarakat dalam latihan PARAKOM penting bagi mewujudkan lebih ramai individu yang mempunyai pengetahuan asas bantuan kecemasan.
“Peserta bukan sahaja mendapat ilmu untuk diri sendiri, malah boleh menggunakan kemahiran yang dipelajari sekiranya berlaku kecemasan melibatkan keluarga atau komuniti.
“Kesinambungan latihan PARAKOM juga penting bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan masyarakat sebelum ketibaan pasukan perubatan atau penyelamat profesional,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


