
MURID SK LUBOK REDAN TERUJA ‘UJI NASIB’ JAWAB SOALAN SPONTAN TOK RAUF
TANJUNG BIDARA, 18 September – Suasana di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Redan gamat dengan sorakan murid apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tiba di sekolah itu, malah ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan mendapatkan autograf beliau sebagai kenang-kenangan.
Kehadiran Ab Rauf menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu nyata mencetuskan keterujaan dalam kalangan murid yang tidak mahu melepaskan peluang untuk mendekati dan menyambut beliau sebelum sesi soal jawab spontan diadakan.
Lebih menarik, antara soalan yang diajukan Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara ialah mengenai sekolah rendah yang pernah menjadi tempat beliau menuntut ilmu dan beliau kelihatan terkejut namun tertawa kerana tidak menyangka soalan berkenaan berjaya dijawab oleh seorang murid.
Suasana santai itu semakin terserlah apabila seorang murid perempuan turut bersahaja menyanyikan sebahagian lagu ‘Senandung Anak Melaka’ apabila ditanya mengenai lagu berkenaan.
Aksi spontan murid berkenaan disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada Ab Rauf dan tetamu kenamaan yang hadir di sekolah tersebut.
Antara yang hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Sesi santai itu turut diserikan dengan soalan yang mengundang gelak dan keterujaan murid apabila Ab Rauf bertanya kepada mereka siapa yang mengenali cucunya yang merupakan pasangan kembar.
Soalan itu ternyata membuka peluang kepada ramai murid untuk βmencuba nasibβ dengan masing-masing mengangkat tangan dan berebut untuk memberikan jawapan.
Momen berkenaan memperlihatkan sisi santai Ketua Menteri ketika berinteraksi dengan generasi muda selain menjadikan kunjungan beliau ke sekolah berkenaan satu pengalaman yang pastinya sukar dilupakan murid-murid.
Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Tanjung Bidara merupakan siri ke-20 program berkenaan yang dilaksanakan bagi mendekati rakyat serta mendengar sendiri permasalahan dan keperluan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


