TOK RAUF SUMBANG KERUSI MANDI KHAS BANTU ADIK AISH IRFAN

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TANJUNG BIDARA 19 September – Tiada siapa menyangka anak yang suatu ketika dahulu mampu berjalan dan bercakap seperti kanak-kanak normal kini hanya terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada ibunya.

Itulah realiti dilalui Siti Nur Shafiqa Suraini, 32, apabila anak sulungnya, Muhammad Aish Irfan Muhamad Hakem, 4, kini terlantar selepas mengalami komplikasi neurologi yang jarang berlaku pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beban Siti Nur Shafiqa dalam menguruskan keperluan harian anaknya sedikit ringan selepas menerima bantuan kerusi mandi khas daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Dia amat terharu dan berterima kasih kerana sumbangan itu mengurangkan risiko kecederaan pada tulang anaknya selain memudahkan urusan penjagaan harian.

“Anak saya pada awalnya boleh berjalan dan bercakap tetapi sekarang dia terlantar, dah tak boleh duduk dan tak boleh bercakap serta bergantung sepenuhnya kepada susu sahaja.

“Dia mengalami distonia (masalah pergerakan neurologi yang menyebabkan otot mengecut) memang memerlukan kerusi mandi kerana tulang dia mengalami skoliosis, tulang membengkok.

“Jadi, untuk mengelakkan tulang daripada patah, doktor sarankan untuk pakai kerusi mandi khas ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bidara Palma, di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Siti Nur Shafiqa dan suami, Muhamad Hakem Md Nasir menerima sumbangan kerusi mandi itu daripada Ab Rauf pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Mengimbau detik anaknya mula mengalami masalah kesihatan, Siti Nur Shafiqa berkata, anaknya itu mengalami muntah-muntah ketika tidur sebelum dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

“Ketika itu suhu badan dia mencecah 41 darjah Celsius dan dia terlantar di Unit Rawatan Rapi Pediatarik (PICU) selama dua bulan sebelum doktor mengesahkan dia mengalami acute necrotising encephalopathy of childhood, penyakit jarang jumpa yang selalunya banyak berlaku di luar negara dan berpunca daripada jangkitan influenza A,” katanya.

Siti Nur Shafiqa berkata, selain Muhammad Aish Irfan, dua lagi anak lelakinya dua lagi anaknya turut mendapatkan khidmat dan pemantauan daripada pakar bagi masalah kesihatan masing-masing.

Katanya, anak kedua berusia tiga tahun mengalami asma kronik manakala anak ketiga mempunyai masalah ‘myoclonic’ yang mengarah kepada sawan.

“Ketiga-tiga anak saya ada pakar genetik di hospital di Kuala Lumpur. Bagi penyakit neuro di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban manakala pakar paru-paru di Hospital Sultanah Aminah, Johor. Pakar kanak-kanak yang lain semuanya di Hospital Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

524
Kongsi :
Previous post BANTUAN RM8,000 PERKASA PDK SERI KEMUNTING, BERI MANFAAT KEPADA 40 PELATIH
Next post TANJUNG BIDARA ‘LUBUK’ KAKI PANCING, 1,140 BERENTAP DI BALIK BATU