
WRUR: 2,300 RAKYAT MEMERLUKAN DISANTUNI, TERIMA BANTUAN RM345,000
TANJUNG BIDARA 19 September – Seramai 2,300 penerima disantuni secara langsung menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, membabitkan nilai keseluruhan RM345,000.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan berkenaan menjadi antara pengisian penting WRUR dalam memastikan golongan dan keluarga yang benar-benar memerlukan tidak terpinggir daripada perhatian Kerajaan Negeri.
“Lebih bermakna, di sebalik ribuan pengisian sepanjang WRUR, seramai 2,300 penerima telah disantuni secara langsung menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, melibatkan nilai keseluruhan RM345,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, pencapaian itu turut mencerminkan komitmen berterusan JKM bersama Kerajaan Negeri dalam membantu serta menyantuni keluarga yang memerlukan di seluruh Melaka.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta JKM yang sentiasa komited menyalurkan bantuan kepada golongan berkeperluan.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian selari dengan matlamat WRUR yang bukan sahaja membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat, malah memastikan bantuan dapat disampaikan kepada golongan yang memerlukan di peringkat akar umbi.
Pelaksanaan WRUR sepanang dua tahun di kesemua 28 DUN Melaka merekodkan sebanyak 1,981 program dan aktiviti dengan hampir 100,000 kehadiran rakyat sepanjang program berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


