
WRUR: 28 DUN, 1,981 PROGRAM, HAMPIR 100,000 RAKYAT MELAKA DAPAT MANFAAT
TANJUNG BIDARA 19 September – Sebanyak 1,981 program dan aktiviti dilaksanakan sepanjang dua tahun Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) menjelajah kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang WRUR juga hampir 100,000 rakyat memeriahkan pelbagai program yang dianjurkan, selain turut mendapat manfaat besar.
Ab Rauf berkata, pencapaian itu membuktikan pendekatan merakyatkan pentadbiran menerusi WRUR berjaya membuka ruang kebersamaan yang lebih dekat antara Kerajaan Negeri dengan rakyat.
“Kita bermula dengan satu tekad yang cukup jelas, jarak antara Kerajaan dengan rakyat mesti kita runtuhkan.
“Saya tidak mahu rakyat terpaksa mengetuk satu demi satu pintu kerajaan hanya untuk mendapatkan pembelaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri mengambil tanggungjawab untuk merobohkan tembok birokrasi sekiranya ia menjadi penghalang kepada rakyat mendapatkan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi.
“Kalau tembok birokrasi menyukarkan rakyat, maka menjadi tugas kerajaan untuk merobohkannya dan membuka jalan penyelesaian tuntas,” katanya.
Menurut beliau, WRUR bukan sekadar platform Kerajaan Negeri turun padang, bahkan menjadi gelanggang kebersamaan antara kerajaan dengan rakyat apabila masalah dibawa, keputusan dibuat dan penyelesaian digerakkan secara terus di hadapan rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


