WRUR: 5,170 ADUAN RAKYAT DITERIMA, 73.29 PERATUS SELESAI

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 19 September – Sebanyak 5,170 aduan rakyat diterima sepanjang pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di seluruh Melaka, dengan 3,789 atau 73.29 peratus daripadanya telah berjaya diselesaikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, baki aduan yang masih dalam tindakan akan terus diberi perhatian supaya penyelesaian dapat dilaksanakan dengan segera.

“Paling utama, sepanjang WRUR, sebanyak 5,170 aduan rakyat telah diterima. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,789 atau 73.29 peratus telah pun kita selesaikan.

“Bagi aduan yang berbaki, insya-Allah semuanya akan diberi perhatian dan diselesaikan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, jumlah aduan yang diterima itu menggambarkan pelbagai keperluan dan permasalahan rakyat yang diketengahkan secara terus sepanjang WRUR menjelajah kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Hakikatnya saudara saudari, jika saya senaraikan satu demi satu pencapaian kerajaan menerusi WRUR ini, barangkali sampai subuh esok pun belum tentu selesai,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan selari dengan pendekatan merakyatkan pentadbiran menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang memberi penekanan kepada penyelesaian permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, pendekatan itu diterjemahkan menerusi usaha membantu keluarga mendapatkan kediaman yang lebih selamat, memulihkan punca pendapatan peniaga kecil, menyediakan kemudahan pembelajaran lebih baik kepada anak-anak serta menyelesaikan keresahan rakyat yang sekian lama terpendam.

“Inilah yang saya maksudkan apabila kita bercakap tentang merakyatkan pentadbiran sejajar dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Kita cuba usahakan ada keluarga yang kembali berteduh di rumah yang selamat. Ada peniaga kecil yang kembali mempunyai punca rezeki.

“Ada anak-anak yang menerima kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan ada keresahan rakyat yang sekian lama terpendam, akhirnya kita berikan jalan penyelesaian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

991
Kongsi :
Previous post WRUR: 2,300 RAKYAT MEMERLUKAN DISANTUNI, TERIMA BANTUAN RM345,000