ANGKAT TANJUNG BIDARA JADI PERMATA PELANCONGAN PANTAI, EKOPELANCONGAN LUAR BANDAR

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TANJUNG BIDARA 20 September – Pantai Tanjung Bidara mahu diangkat sebagai antara destinasi pelancongan pantai dan ekopelancongan luar bandar yang menarik di Melaka.

Ketua Menteri merangkap Adun Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, potensi Pantai Tanjung Bidara perlu diperkasa dan tidak hanya menjadi lokasi kunjungan orang ramai pada hujung minggu sahaja.

Sebaliknya, beliau berkata, kawasan itu mempunyai potensi lebih besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan yang mampu memberi manfaat berterusan kepada rakyat.

“Saya berharap pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dapat melihat potensi yang ada di kawasan ini, khususnya Pantai Tanjung Bidara, untuk terus diperkasa sebagai salah satu destinasi pelancongan pantai dan ekopelancongan luar bandar yang menarik di Melaka.

“Kita tidak mahu Pantai Tanjung Bidara sekadar menjadi tempat orang datang hujung minggu sedangkan potensinya lebih besar daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut bersama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Surrendren Sathasivam serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pembangunan kawasan itu perlu mengambil kira keseimbangan antara kelestarian alam sekitar, produk komuniti dan penglibatan usahawan tempatan supaya manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat setempat.

“Kalau dapat kita bangunkan dengan pendekatan yang betul, menjaga alam sekitar, mengangkat produk komuniti dan melibatkan usahawan tempatan, saya percaya manfaatnya akan terus sampai kepada rakyat di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post TANJUNG BIDARA JADI PENTAS SENI, BUDAYA MELAKA
Next post WRUR: 212 PROJEK, RM41.16 JUTA PERKASA PEMBANGUNAN TANJUNG BIDARA