MELAKA SALUR RM250,000 NAIK TARAF KEM GERAK KHAS SUNGAI UDANG

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SUNGAI UDANG 20 September – Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM250,000 bagi kerja pembangunan dan penambahbaikan kemudahan di Kem Sungai Udang Rejimen Gerak Khas (RGK), termasuk penambahan dua unit kipas gergasi di dewan besar kem berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penambahan kemudahan itu diputuskan selepas beliau melihat sendiri keperluan anggota serta keluarga yang menggunakan kemudahan berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini dimaklumkan sebanyak 10 unit kipas telah disediakan di dewan besar berkenaan, namun jumlah itu didapati masih belum mencukupi untuk keselesaan pengguna.

“Dua tidak cukup, Kerajaan Negeri tambah lagi dua dan kita juga memperuntukkan RM250,000 untuk pembangunan dalam kem ini.

“Ini adalah antara usaha kita untuk memastikan kemudahan yang digunakan anggota dan keluarga mereka berada dalam keadaan baik serta selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Keluarga Rejimen Gerak Khas Tahun 2026 di Kem Sungai Udang, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Kerajaan, Perumahan, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahman Mariman serta Pengerusi Rejimen Gerak Khas Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan warga pasukan keselamatan dan keluarga mereka terus diberi perhatian.

Katanya, aspek kebajikan termasuk pendidikan dan keperluan keluarga anggota perlu diberikan perhatian sewajarnya sebagai penghargaan terhadap khidmat serta pengorbanan mereka.

“Gunakanlah sebaik mungkin peruntukan yang diberikan kerana ia turut meliputi aspek kebajikan, termasuk pendidikan dan keperluan lain yang memerlukan perhatian kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

644
Kongsi :
Previous post PEJABAT KETUA MENTERI JAUH, HEBAT DEKATKAN KAMI DENGAN PEMIMPIN
Next post MELAKA PERKUKUH HUBUNGAN, BELA KEBAJIKAN WARGA GERAK KHAS