PERKHIDMATAN VAN SEKOLAH BANTU ATASI ISU PENGANGKUTAN ANAK RIM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

RIM 21 September – Menyediakan perkhidmatan van sekolah antara cadangan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengatasi kekangan pengangkutan milik persendirian dalam kalangan ibu bapa sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, cadangan itu juga  akan mengatasi jarak antara kediaman penduduk dan sekolah yang agak jauh.

Menurutnya, ada keluarga yang bergantung kepada hanya sebuah motosikal dan kenderaan untuk kegunaan harian seperti bekerja, ke kebun atau mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berhampiran.

“Saya tidak mahu ada anak-anak DUN Rim yang keciciran dalam pelakaran atas alasan kekangan pengangkutan keluarga mereka, jadi  kita bercadang untuk menyediakan satu atau sehingga tiga buah van sekolah.

“Sampai sekolah dia belajar atau tidak, itu perkara kedua bagi saya. Yang penting dia kena pergi sekolah, kena masuk sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Projek Bina Baru Rumah, Sumbangan Baik Pulih Rumah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Penyampaian Tunai serta Kit Makanan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rim yang turut dihadiri Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom di Kampung Terentang, di sini, hari ini.

Katanya, keperluan pengangkutan itu lebih ketara membabitkan pelajar sekitar Chinchin yang perlu ke sekolah menengah di luar kawasan berkenaan.

“Kedudukan kampung dalam DUN Rim adalah jauh dan bukan semua keluarga mempunyai pengangkutan yang mencukupi untuk menghantar anak ke sekolah.

“Jadi saya mahu memastikan kemudahan pengangkutan sekolah dapat disediakan secara berperingkat supaya faktor jarak dan kekangan kenderaan tidak lagi menjadi alasan anak-anak untuk tidak hadir ke sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post KOMITMEN ‘HIDUPKAN’ SUNGAI MELAKA DIIKTIRAF AIPH WORLD GREEN CITY AWARDS 2026
Next post PEMERKASAAN ALAM SEKITAR MELAKA BUKAN AGENDA SAMPINGAN – AB RAUF