
PEMERKASAAN ALAM SEKITAR MELAKA BUKAN AGENDA SAMPINGAN – AB RAUF
BANDA HILIR 21 September – Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Kebangsaan di Melaka membawa makna yang cukup besar kepada Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia menjadi manifestasi kesungguhan untuk memastikan kemajuan yang dikejar tidak mengorbankan alam yang menjadi asas kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat.
Susulan itu beliau menyeru seluruh rakyat Melaka agar menyayangi dan menghargai alam sebagaimana menyayangi rumah sendiri kerana bumi adalah kehidupan yang akan diwariskan kepada anak cucu kelak.
“Hari ini, cabaran alam sekitar bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata. Pembangunan terus berjalan, bandar semakin berkembang, keperluan rakyat semakin bertambah dan dalam masa yang sama, tekanan terhadap alam juga semakin besar.
“Bagi saya, kesedaran sahaja tidak lagi mencukupi, kita perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar memahami cabaran kepada keberanian untuk mengubah cara kita merancang, membangun dan mengurus sumber yang kita miliki,” kata Ketua Menteri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Yang turut hadir Penasihat Undang-undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; barisan Exco dan Timbalan Exco; Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar Malaysia Azuri Azizah Saedon serta kenamaan lain.
Katanya, atas prinsip itu di Melaka komitmen terhadap penjagaan alam sekitar bukan agenda sampingan tetapi menjadi sebahagian daripada cara merancang pembangunan negeri, daripada bagaimana membentuk bandar, menarik pelaburan dan mengurus tenaga, sehinggalah kepada mengurus mobiliti, sungai, sisa dan ruang hijau.
“Dalam semangat sambutan kali inisaya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada keempat-empat Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Melaka atas penerimaan Anugerah Khas sempena Hari Alam Sekitar Negara.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus melangkah lebih jauh, memperindah bandar, memperluas ruang hijau serta mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selesa dan mampan untuk rakyat.
“Hakikatnya, alam sekitar bukan sesuatu yang terpisah daripada kehidupan kita. Ia adalah air yang kita minum, udara yang kita hirup, sungai yang mengalir di sekeliling kita, ruang hijau yang kita nikmati dan persekitaran tempat anak-anak kita membesar,” katanya.
Selain pada majlis sama Anugerah Khas Sekolah Harapan, Peringkat Kebangsaan, Sesi 2025/2026 turut disampaikan kepada dua sekolah dari Melaka iaitu Sekolah Menengah Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, Alor Gajah, bagi kategori sekolah menengah Sekolah Rendah Sekolah Rendah Arab Merlimau Pasir, Merlimau, Melaka, bagi kategori sekolah rendah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


