93.6 PERATUS PUAS HATI PERKHIDMATAN AWAM MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 21 September – Kadar kepuasan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam negeri melonjak kepada 93.6 peratus pada Fasa 1 tahun 2026, berbanding 87.82 peratus tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peningkatan sebanyak 5.78 mata peratusan itu membuktikan komitmen dan dedikasi penjawat awam dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat terus diperkasa.

“Hasil komitmen dan dedikasi luar biasa saudara saudari, hari ini Melaka menunjukkan prestasi kadar kepuasan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam negeri pada Fasa 1 tahun 2026 melonjak 93.6 peratus berbanding 87.82 peratus pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Dalam Program Anjuran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, pencapaian itu merupakan ukuran penting terhadap keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam kepada kira-kira 1.05 juta rakyat Melaka.

“Bagi saya, inilah ukuran sebenar Melaka Sayang Rakyat. Bukan sekadar pada slogan yang kita laungkan, tetapi pada mutu perkhidmatan yang kita pulangkan kepada 1.05 juta rakyat Melaka,” katanya.

Justeru, Ab Rauf merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam negeri atas komitmen dan dedikasi yang diberikan dalam melaksanakan amanah serta memastikan mutu penyampaian perkhidmatan awam terus berada pada tahap terbaik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post MELAKA CIPTA REPUTASI ANJUR 2,092 PROGRAM, REKOD 6 JUTA KEHADIRAN
Next post MELAKA PERUNTUK RM100,000 UNTUK PEMBANGUNAN BAKAT PENJAWAT AWAM