MELAKA CIPTA REPUTASI ANJUR 2,092 PROGRAM, REKOD 6 JUTA KEHADIRAN

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 21 September – Sebanyak 2,092 program utama anjuran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan di Melaka sepanjang 2025 hingga September 2026, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh

Beliau berkata, pencapaian itu merangkumi pelbagai program berskala kebangsaan, pelancongan, sukan, kebudayaan serta program turun padang yang mendekatkan pentadbiran dengan masyarakat.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, ia telah merekodkan lebih enam juta kehadiran secara kumulatif.

“Tahun lalu sahaja, Melaka mencipta satu lagi dentuman apabila menjadi tumpuan dunia sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Dunia, yang menghimpunkan 155 delegasi, sekali gus merekodkan letupan lebih 40,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.

“Lebih bertuah lagi, bumi Melaka juga berbangga menerima keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kunjungan YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri, barisan Menteri Kabinet, kepimpinan tertinggi negara serta duta, diplomat dan delegasi antarabangsa dari beberapa buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Dalam Program Anjuran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, kehadiran pemimpin tertinggi negara dan delegasi antarabangsa itu membuktikan Melaka semakin mendapat kepercayaan sebagai lokasi penganjuran acara berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Semua ini membawa satu mesej yang cukup jelas iaitu Melaka hari ini bukan sahaja menjadi destinasi yang mahu dikunjungi, tetapi semakin menjadi titik pertemuan negara dan dunia.

“Apabila acara besar memilih Melaka, kepimpinan tertinggi negara hadir ke Melaka dan delegasi dunia berhimpun di Melaka, ini bukan kebetulan. Sebaliknya, inilah reputasi yang kita bina bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menegaskan kepercayaan yang diberikan kepada Melaka tidak hanya terhasil melalui publisiti, sebaliknya turut dipacu disiplin, ketelitian dan mutu kerja penjawat awam dalam memastikan setiap program yang dianjurkan berjalan lancar.

“Kerana orang mungkin melihat Melaka melalui pentasnya, tetapi dunia mungkin menilai Melaka melalui cara kita bekerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

690
Kongsi :
Previous post TURUN PADANG WRUR, JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT BAWA SINAR BUAT PESAWAH
Next post 93.6 PERATUS PUAS HATI PERKHIDMATAN AWAM MELAKA