TURUN PADANG WRUR, JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT BAWA SINAR BUAT PESAWAH

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KLEBANG 21 September – Pendekatan turun padang oleh Kerajaan Negeri menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang disusuli siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat terbukti berkesan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, hasil turun padang bersama jabatan dan agensi membawa berita gembira buat pesawah di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu apabila isu kekurangan air dihadapi mereka berjaya ditangani.

Katanya, pada WRUR DUN Klebang tahun lalu 35 petani dan pesawah menyuarakan permasalahan pengairan kritikal yang dikhuatiri akan menjejaskan mereka jika tidak ada sebarang langkah segera diambil.

“Susulan itu permohonan diangkat kepada agensi berkaitan, meminta supaya sistem pengairan ditambah baik. Pada penghujung WRUR, kita melakukan pecah tanah bagi pelaksanaan infrastruktur sokongan kawasan tanaman padi di Kampung Pinang membabitkan keluasan kira-kira 80.9 hektar.

“Pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat pula kita sudah dapat melihat tindakan untuk mengatasi masalah berkenaan apabila infrastruktur sokongan pembinaan rumah pam bernilai RM2.3 juta sudah siap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Klebang, di Balai Raya Bukit Rambai, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Melaka Tengah, Mohd Shaiful Hizam Johan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff.

Menurut Ban Hong, kesinambungan antara siri turun padang membolehkan isu yang pernah dibangkitkan rakyat bukan sahaja dikenal pasti malah dipantau perkembangan sehingga memberikan manfaat kepada golongan sasaran.

“Pembinaan infrastruktur sokongan itu tidak terhenti di sini apabila Kerajaan Negeri bersetuju memberikan sejumlah peruntukan bagi pembelian diesel bagi membolehkan rumah pam terbabit beroperasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

193
Kongsi :
Previous post JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT DUN DURIAN TUNGGAL TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA
Next post MELAKA CIPTA REPUTASI ANJUR 2,092 PROGRAM, REKOD 6 JUTA KEHADIRAN