MELAKA PERUNTUK RM100,000 UNTUK PEMBANGUNAN BAKAT PENJAWAT AWAM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 21 September – Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM100,000 bagi pembangunan bakat dan kompetensi penjawat awam Melaka dalam usaha memperkukuh keupayaan perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu meliputi pembangunan kepimpinan, teknologi, pendigitalan, pengurusan strategik serta kepakaran profesional.

“Setelah tiga tahun saya menerajui pentadbiran ini, saya semakin yakin tentang satu perkara, bahawa Melaka ada bakat.

“Kita ada penjawat awam yang pantas menyelesaikan masalah, ada yang sarat dengan idea, malah ramai yang mampu pergi jauh jika kita berikan peluang dan gelanggang yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Dalam Program Anjuran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri mahu penjawat awam Melaka diberikan ruang untuk menimba ilmu, meningkatkan kompetensi dan mempelajari amalan terbaik daripada pihak yang mempunyai kepakaran.

“Kita mahu penjawat awam Melaka melihat lebih jauh, belajar daripada yang terbaik dan membawa pulang ilmu yang terbaik.

“Bukan sekadar setanding dengan negeri lain, kalau boleh, kita mahu penjawat awam Melaka berdiri sama tinggi dengan bakat terbaik di mana-mana sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, pembangunan bakat perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu memperkukuh keupayaan pentadbiran negeri dalam menghadapi tuntutan masa hadapan.

“Bagi saya, pembangunan bakat bukan perbelanjaan, ia merupakan satu pelaburan penting yang akan membawa Melaka melangkah lebih jauh ke hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post 93.6 PERATUS PUAS HATI PERKHIDMATAN AWAM MELAKA
Next post JADIKAN MELAKA SAYANG RAKYAT JIWA PERKHIDMATAN AWAM – AB RAUF