‘TERIMA KASIH JAGA MELAKA’ – AB RAUF ZAHIR PENGHARGAAN BUAT 5,000 PENJAWAT AWAM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 22 September – Lebih 5,000 penjawat awam negeri dan Persekutuan menerima penghargaan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di atas komitmen menggerakkan pentadbiran serta memastikan pelbagai program di Melaka berjalan lancar.

Ab Rauf berkata, selama ini penjawat awam banyak memainkan peranan di belakang tabir dalam memastikan setiap program dan agenda Kerajaan Negeri berjaya dilaksanakan.

“Atas sebab itu, kita ubah gelanggangnya. Kalau selama ini saudara saudari berdiri di belakang tabir memastikan setiap program Melaka berjaya, malam ini Melaka pula berdiri di hadapan saudara saudari untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Dalam Program Anjuran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan rasa bangga di atas keringat dan jasa seluruh penjawat awam yang sentiasa memberikan khidmat terbaik demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Terima kasih kerana menjaga Melaka. Terima kasih menggerakkan Melaka. Dan terima kasih kerana tidak pernah lelah apabila Melaka memerlukan perkhidmatan semua,” katanya.

Menurut Ketua Menteri, sumbangan penjawat awam bukan sahaja dapat dilihat ketika berlangsungnya sesuatu program, malah turut menjadi penggerak penting kepada kelancaran pentadbiran dan pelaksanaan pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri.

“Segala momentum ini tidak bergerak dengan sendiri. Di sebaliknya, ada usaha, ada keringat, ada pengorbanan dan semuanya datang daripada wajah-wajah di hadapan saya yang saya tahu di belakangnya ada seribu satu cerita,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4181
Kongsi :
Previous post ‘MELAKA TAK RELAKS’ TANDA NEGERI SEDANG BERGERAK MAJU – AB RAUF
Next post PARAKOM LAHIRKAN HAMPIR 2,000 SUKARELAWAN SEJAK DIPERKENALKAN