KEPERLUAN LEBIH 50,000 PENDUDUK DUN DURIAN TUNGGAL JADI FOKUS ZAHARI LIMA TAHUN AKAN DATANG

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

DURIAN TUNGGAL 22 September – Penyelesaian isu infrastruktur, banjir, selain memperkukuh kemudahan awam serta kebajikan rakyat khususnya golongan anak muda menjadi antara fokus utama Datuk Zahari Abd Kalil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal bagi tempoh lima tahun akan datang.

Zahari berkata sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), tumpuan berkenaan penting susulan pertambahan penduduk di kawasan itu yang kini mencecah kira-kira 50,000 orang, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap kemudahan jalan raya, sistem saliran, pendidikan dan perkhidmatan awam.

Katanya, pembangunan DUN Durian Tunggal perlu dirancang secara berterusan bagi memastikan kemudahan sedia ada mampu menampung pertumbuhan penduduk dan peningkatan jumlah kenderaan.

“Memang tidak boleh 100 peratus sempurna kerana dengan jumlah penduduk yang ramai, pasti ada perkara yang tertinggal, tetapi kita akan teruskan usaha untuk menyelesaikan perkara yang masih belum selesai dan melihat keperluan baharu yang timbul.

“Pembangunan lima tahun akan datang juga perlu memberi perhatian kepada keperluan generasi muda, pendidikan serta kemudahan komuniti seiring dengan perubahan demografi di DUN berkenaan.

“Kesinambungan pembangunan ini penting bagi memastikan DUN Durian Tunggal terus berkembang sebagai kawasan yang mempunyai kemudahan asas dan perkhidmatan awam yang selari dengan keperluan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Durian Tunggal di Kampung Pulau, Pulau Indah, di sini semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta kenamaan lain.

Katanya, isu banjir antara perkara yang akan terus diberi perhatian memandangkan terdapat beberapa kawasan yang masih memerlukan penyelesaian secara menyeluruh.

Selain itu penyelesaian jangka pendek, perancangan infrastruktur perlu mengambil kira keperluan jangka panjang supaya pembangunan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk dalam DUN Durian Tunggal.

“Apabila penduduk bertambah, jumlah kenderaan juga meningkat. Jadi keperluan terhadap jalan raya, sistem saliran dan kemudahan awam turut berubah.

“Kita perlu melihat perkara ini secara menyeluruh dan melaksanakannya secara berperingkat mengikut keutamaan serta keperluan penduduk,” katanya.

Dalam masa sama, Zahari berkata, aspek kebajikan rakyat akan terus menjadi antara keutamaan dengan pendekatan turun padang diperkasakan bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir daripada perhatian.

Menurutnya, pendekatan berkenaan membolehkan masalah penduduk dikenal pasti dengan lebih dekat sebelum tindakan susulan dibuat bersama agensi kerajaan berkaitan.

“Kalau ada masalah yang boleh kita selesaikan dengan segera, kita akan cuba bantu. Kalau memerlukan peruntukan atau tindakan agensi tertentu, kita akan bawa perkara itu kepada pihak berkaitan.

“Yang penting, kita mahu terus berada dekat dengan rakyat dan mengetahui sendiri apa yang mereka perlukan,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

214
Kongsi :
Previous post ZAHARI LAKSANA 80 PERATUS MENIFESTO DURIAN TUNGGAL
Next post PENGAMAL MEDIA ‘BERKAMPUNG’ DI SERI NEGERI, TUNGGU PENGUMUMAN PENTING KETUA MENTERI