
ZAHARI LAKSANA 80 PERATUS MENIFESTO DURIAN TUNGGAL
DURIAN TUNGGAL 22 September – Selepas hampir lima tahun menerajui Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal kira-kira 80 peratus manifesto pembangunan yang dirancang sejak awal penggal lalu telah dilaksanakan, merangkumi aspek infrastruktur, pendidikan, kebajikan dan penyelesaian isu banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan bersama agensi kerajaan, Kerajaan Negeri dalam menangani keperluan penduduk di kawasan tersebut.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata isu banjir antara perkara utama yang diberi perhatian sepanjang tempoh tersebut, selain pembangunan infrastruktur dan pendidikan yang turut disesuaikan dengan pertambahan penduduk.
“Kalau keseluruhan manifesto, saya boleh katakan hampir 80 peratus sudah dilaksanakan, termasuk infrastruktur, pendidikan dan sebagainya.
“Untuk kebajikan pula, saya boleh katakan hampir 100 peratus kerana perkara itu memang menjadi keutamaan saya sejak mula menjadi Adun Durian Tunggal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Durian Tunggal di Kampung Pulau, Pulau Indah, di sini, semalam.
Mengulas aspek kebajikan, Zahari berkata, beliau menyediakan peruntukan antara RM5,000 hingga RM10,000 setahun bagi membantu penduduk yang memerlukan, termasuk keperluan katil, kerusi roda dan peralatan untuk pesakit.
“Kita tidak hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau agensi lain. Kalau ada penduduk yang memerlukan, kita cuba bantu secara terus.
Tambah Zahari, dalam tempoh sama, beberapa keperluan pembangunan turut mendapat perhatian termasuk usaha menambah bilik darjah di sekolah berikutan peningkatan jumlah murid.
“Empat sekolah sebelum ini dikenal pasti memerlukan penambahan bilik darjah, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana, SK Durian Tunggal dan SK Gangsa, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal turut menerima kelulusan penambahan bilik darjah.
“Bagi aspek pengangkutan pula, perancangan menjadikan jalan utama Pekan Durian Tunggal sebagai laluan sehala turut diketengahkan bagi meningkatkan kecekapan pergerakan trafik, khususnya pada waktu puncak, cuti sekolah dan musim perayaan.
“Isu banjir terus menjadi antara agenda yang memerlukan tindakan susulan apabila beberapa kawasan termasuk Taman Belimbing Setia dan Vista Belimbing dikenal pasti berdepan risiko aliran air serta limpahan ketika hujan lebat.
“Usaha bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju dan komuniti setempat sedang dilaksanakan bagi mengkaji sistem saliran serta kaedah menahan dan mengawal aliran air sebelum dilepaskan secara berperingkat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


