
DUN MELAKA DIBUBAR BERKUAT KUASA ESOK
SERI NEGERI 22 September – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok (23 September) bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada sidang media khas di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan pembubaran itu dilakukan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
“Dengan pembubaran DUN ini, maka berakhirnya penggal DUN Melaka dan kita akan mengikut proses seterusnya mengikut lunas undang-undang,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Ab Rauf berkata, beliau komited untuk meneruskan pentadbiran sebagai ‘caretaker government’ sepanjang tempoh ini dengan memastikan negeri dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan.
“Kita akan menggalas amanah dan tanggungjawab sehingga Kerajaan Negeri baharu terbentuk dan keutamaan adalah memastikan pentadbiran teratur dan kepentingan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Penggal DUN Melaka ke-15 dijadualkan berakhir pada 27 Disember 2026 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, selepas DUN dibubarkan, pilihan raya umum negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.
PRN Melaka ke-15 pada 20 November 2021 yang lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.
Keputusan itu menyaksikan BN memenangi kerusi di Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.
Lima kerusi dimenangi PH ialah Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala PN memenangi Sungai Udang dan Bemban.
PRN Melaka 2021 menyaksikan seramai 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Pembubaran DUN kali ini membuka laluan kepada PRN Melaka yang akan menentukan mandat baharu rakyat bagi membentuk Kerajaan Negeri untuk tempoh pentadbiran seterusnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


