RISIKO BANJIR SEMAKIN KURANG, PENDUDUK RIM BOLEH TIDUR TENANG – KHAIDHIRAH

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

RIM 22 September – Penduduk di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim kini lebih lega apabila masalah banjir kilat yang sebelum ini kerap berlaku dapat ditangani menerusi penambahbaikan sistem saliran dan longkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, usaha menyelesaikan masalah saliran diberi keutamaan sepanjang satu hingga dua tahun pentadbirannya dan dilaksanakan secara berperingkat.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, saya rasa sudah boleh tidur dengan lebih tenang kerana tidak lagi terkejut apabila mendengar laporan laman rumah penduduk dinaiki air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Projek Bina Baru Rumah, Sumbangan Baik Pulih Rumah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Penyampaian Tunai serta Kit Makanan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rim di Kampung Terentang, di sini, semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.

Menurutnya, antara masalah yang diberi perhatian termasuk longkang sempit dan saliran yang tidak mampu menampung aliran air ketika hujan lebat.

“Kita tengok di mana ada masalah, simpang tidak betul, longkang sempit atau saliran kecil, kita lebarkan dan usahakan penyelesaiannya.

“Penyelesaian masalah asas seperti saliran penting bagi memastikan penduduk dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan tidak lagi dibelenggu kebimbangan setiap kali hujan lebat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post SIMPANG SCIENTEX DURIAN TUNGGAL BAKAL DINAIK TARAF KEPADA BULATAN
Next post DUN MELAKA DIBUBAR BERKUAT KUASA ESOK