SIMPANG SCIENTEX DURIAN TUNGGAL BAKAL DINAIK TARAF KEPADA BULATAN

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DURIAN TUNGGAL 22 September – Kajian akan dilaksanakan berhubung cadangan menaik taraf persimpangan taman perumahan Scientex, Belimbing Dalam ke Machap dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal kepada bulatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil berkata, kajian dan penelitian itu akan dilakukan jabatan berkenaan bagi mengetahui tahap keberkesanannya dalam membantu melancarkan aliran trafik.

Katanya, perkara itu wajar diberikan perhatian berikutan keadaan persimpangan yang mempunyai banyak cabang dikatakan menjadi faktor mengganggu kelancaran trafik terutama dari arah Durian Tunggal menghala ke Machap kurang lancar.

Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka juga sudah diminta mengkaji semula keperluan menyediakan bulatan di lokasi terbabit.

“Persimpangan keluar masuk Taman perumahan berhampiran juga tidak mempunyai kemudahan bulatan atau lampu isyarat, keadaan ini menyukarkan pengguna yang mahu ke Machap Jaya.

“Saya harap perkara ini dapat dimasukkan dalam bajet negeri pada tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas menyempurnakan Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Zahari berkata, keperluan menaik taraf jalan sekitar DUN Durian Tunggal perlu diberi perhatian susulan pertambahan penduduk dan jumlah kenderaan.

“Mengikut perancangan infrastruktur, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pembaikan secara berperingkat mengikut keperluan semasa penduduk, memandangkan pertambahan penduduk serta pertambahan kenderaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

695
Kongsi :
Previous post PENGAMAL MEDIA ‘BERKAMPUNG’ DI SERI NEGERI, TUNGGU PENGUMUMAN PENTING KETUA MENTERI
Next post RISIKO BANJIR SEMAKIN KURANG, PENDUDUK RIM BOLEH TIDUR TENANG – KHAIDHIRAH