DUN MELAKA BUBAR, URUSAN KERAJAAN NEGERI TERUS BERJALAN SEPERTI BIASA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 22 September – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa esok (23 September) tidak akan menjejaskan urusan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan tanggungjawab dalam kapasiti sebagai Kerajaan Sementara atau ‘Caretaker Government’ sehingga sebuah Kerajaan Negeri dibentuk selepas proses pilihan raya.

“Saya ingin memberi satu jaminan yang jelas kepada seluruh rakyat Melaka bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri tidak bermakna urusan Kerajaan Negeri terhenti.

“Pentadbiran negeri, penyampaian perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan akan terus berjalan seperti biasa,” katanya pada sidang media khas mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, sepanjang tempoh berkenaan, keutamaan Kerajaan Negeri adalah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Katanya, semua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing secara profesional berdasarkan undang-undang, peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa.

“Justeru, semua jabatan, agensi Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing dengan profesional berdasarkan undang-undang, peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa.

“Negeri ini akan terus ditadbir dengan baik. Perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan dan kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan kita,” katanya.

Pembubaran DUN Melaka memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi membolehkan rakyat menentukan mandat baharu untuk pembentukan Kerajaan Negeri.

PRN Melaka ke-15 pada 20 November 2021 lalu Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

PRN Melaka 2021 menyaksikan seramai 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Pembubaran DUN itu sekali gus membuka laluan kepada proses pilihan raya bagi menentukan hala tuju pentadbiran Melaka untuk penggal seterusnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

391
Kongsi :
Previous post DUN MELAKA DIBUBAR BERKUAT KUASA ESOK
Next post HALA TUJU KERJASAMA AMBIL KIRA KEPENTINGAN RAKYAT MELAKA – AB RAUF