HALA TUJU KERJASAMA AMBIL KIRA KEPENTINGAN RAKYAT MELAKA – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 22 September – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh akan mengadakan rundingan dengan parti-parti yang terlibat sebelum memutuskan hala tuju politik susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, berkuat kuasa esok.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat, termasuk berhubung bentuk kerjasama politik yang akan diterokai bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Kita selesaikan dulu ini (pembubaran DUN) dululah. Lepas itu nanti baru kita cerita pasal parti, mana hala tuju kita.

“Pastinya saya akan adakan rundingan-rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat dan akan menilai perbincangan kita dan tawaran-tawaran yang diberikan,” katanya pada sidang media khas selepas mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, sebarang keputusan yang dibuat kelak bukan semata-mata untuk kepentingan dirinya, sebaliknya mengambil kira kepentingan rakyat serta masa depan pentadbiran negeri.

“Yang paling utama bukan untuk kepentingan saya, tetapi kepentingan bagaimana kita nak menguruskan negeri ini untuk rakyat Melaka, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada gabungan yang membawa ‘Gelombang Biru’ akan bergerak secara solo pada PRN kali ini, Ab Rauf berkata perkara itu juga masih belum diputuskan.

“Tak, itu saya beritahu nanti bila kita sudah putuskan rundingan,” ujarnya.

Terdahulu, Ab Rauf mengumumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRN Melaka, tertakluk kepada proses dan penetapan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

PRN berkenaan menyaksikan BN memperoleh mandat majoriti dua pertiga untuk membentuk Kerajaan Negeri Melaka selepas memenangi 21 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi yang dipertandingkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

342
Kongsi :
Previous post DUN MELAKA BUBAR, URUSAN KERAJAAN NEGERI TERUS BERJALAN SEPERTI BIASA
Next post USAHA SANTUNI RAKYAT DI MELAKA BUKAN BAHARU, TELAH BERMULA TIGA TAHUN LALU