10,000 GOLONGAN SASAR BAKAL TERIMA MANFAAT KAD RAHMAH BLOOM MEKAR MEDIPULIH 

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 September – Lebih 10,000 golongan B40, warga emas, ibu atau bapa tunggal dan masyarakat Orang Asli di negeri ini disasarkan menerima kemudahan menerusi Kad Rahmah Bloom Mekar oleh Klinik MediPulih bagi mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih.

Ketua Strategi Korporat MediPulih Abuzar Ghifari Abd Rahman berkata, pihaknya telah memperluaskan penyertaan ke lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri ini menerusi Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Jelasnya, perancangan tahun hadapan adalah untuk mengikuti setiap program membabitkan Kerajaan Negeri untuk bersama-sama memberi manfaat kepada golongan sasar di negeri ini.

“Sasaran kita tahun ini adalah untuk mencapai lebih 10,000 golongan B40, warga emas, ibu atau bapa tunggal dan Orang Asli untuk menikmati Kad Rahmah Bloom Mekar.

“Kita mahu semua rakyat Melaka, khususnya golongan B40, mendapat kad ini supaya dapat mengurangkan beban mendapatkan rawatan di klinik swasta sekali gus dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Durian Tunggal, pada Isnin.

Terdahulu, pada program tersebut, Klinik MediPulih telah mengagihkan 300 Kad Rahmah Bloom Mekar kepada golongan bekeperluan dalam kawasan DUN Durian Tunggal.

Katanya, Klinik MediPulih turut menyasarkan peluasan kemudahan kad Rahmah Bloom Mekar ke seluruh Malaysia, khususnya di kawasan yang mempunyai klinik di bawah rangkaian mereka termasuk di Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain.

“Untuk kad ini ia boleh digunakan bukan sahaja di Melaka, kerana kita (Klinik MediPulih) mempunyai banyak cawangan di luar Melaka, jadi ia memang memberi manfaat kepada pengguna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

782
Kongsi :
Previous post MASUK MUZIUM PERCUMA UNTUK ANGGOTA ATM, TEBUS HINGGA 19 OKTOBER
Next post TARIKH LAHIR SAMA, NOAH AR RAUF ‘HADIAH’ ISTIMEWA BUAT AB RAUF