
USAHA SANTUNI RAKYAT DI MELAKA BUKAN BAHARU, TELAH BERMULA TIGA TAHUN LALU
SERI NEGERI 22 September – Kerajaan Melaka telah melaksanakan pelbagai usaha menyantuni rakyat secara berterusan sejak tiga tahun lalu menerusi pelbagai pendekatan turun padang, sekali gus memastikan permasalahan dan keperluan rakyat didengar serta diberi tindakan susulan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus membuktikan pendekatan berkenaan bukan dilaksanakan hanya dalam tempoh singkat atau ketika menjelang pilihan raya sahaja.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah dilakukan antaranya menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membabitkan pusingan menyeluruh ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.
“Kita akan meneruskan usaha ini kerana usaha ini saya fikir satu instrumen yang amat baik dalam kita menyantuni rakyat.
“Sebab kita menjelajah rakyat ini mengambil masa tiga tahun, bukan dua bulan, bukan untuk pilihan raya. Kita telah melakujan pusingan untuk sampai daripada N01 DUN Kuala Linggi sehinggalah DUN yang terakhir yang mengambil masa kira-kira tiga tahun,” katanya pada sidang media khas selepas mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Ab Rauf, pendekatan berkenaan turut mengubah persepsi rakyat terhadap usaha Kerajaan Negeri apabila mereka mula melihat manfaatnya selepas beberapa siri kunjungan dilaksanakan di kawasan masing-masing.
“Pastinya berbeza kerana mereka peringkat awal tak sedar bahawa inilah instrumen yang terbaik kerajaan menyantuni rakyat dalam pelbagai sudut, menyantuni mereka. Namun, apabila masuk siri yang kelima, keenam ini baru mereka (rakyat) perasan dan berpuas hati dengan inisiatif yang dilakukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


