HASN 2026: MPHTJ TERIMA PENGIKTIRAFAN PEMANGKIN BANDAR PINTAR, KEJIRANAN HIJAU

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 23 September – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menerima Anugerah Pemangkin Bandar Pintar dan Kejiranan Hijau sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Kebangsaan, pada Isnin.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pengiktirafan itu susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan hijau rendah karbon dan bandar pintar yang dimulakan sejak 2012.

Menurutnya, MPHTJ merupakan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perintis dan terkehadapan dalam kedua-dua bidang berkenaan, selain menjadi PBT paling lama terlibat dengan Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030).

“Dalam konteks bandar pintar, MPHTJ telah mendapat penarafan ‘Stage 1’ sebagai ‘Smart Early Adopter’. Pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk MPHTJ Low Carbon Eco Schools, Green Ambassador, Green Warrior Program serta Program Kecekapan Tenaga melalui EMGS Rating.

“Selain itu, MPHTJ turut menyediakan perkhidmatan dan pembayaran dalam talian, OSC Online, tandatangan digital serta pembangunan dashboard,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sapiah berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan MPHTJ dalam memperkukuh pengurusan bandar ke arah mencapai status bandar pintar, bandar rendah karbon dan kejiranan hijau.

“Anugerah ini turut menjadi motivasi kepada seluruh warga kerja MPHTJ untuk terus memperkukuh agenda rendah karbon dan bandar pintar demi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih mampan untuk generasi akan datang.

“MPHTJ akan terus memperkasakan peranan dan sumbangan dalam bidang ini serta memastikan keterlibatan semua pemegang taruh di kawasan pentadbiran PBT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post LEBIH 3,000 PEGAWAI, ANGGOTA PDRM BERTUGAS JAMIN KELANCARAN PRN MELAKA 
Next post MELAKA MEDAN MUSYAWARAH RUNGKAI POLEMIK SEJARAH TANAH MELAYU