LEBIH 50,000 MERIAHKAN FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 23 September – Seramai 50,000 pengunjung direkodkan hadir memeriahkan Festival Sungai Melaka 2026 berlangsung di beberapa lokasi menarik di semua tiga daerah di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, jumlah kehadiran direkodkan itu melepasi sasaran yang telah ditetapkan pihaknya, sekali gus menunjukkan festival itu menerima sambutan amat menggalakkan.

Katanya, sepanjang penganjuran yang bermula pada pertengahan Jun lalu, lebih 30 aktiviti dan program telah diadakan di Sungai Melaka, Tasik Chinchin, Eco Cruise Sungai Linggi dan berakhir di Pesta Pantai Tanjung Bidara.

“Festival Sungai Melaka 2026 telah melabuhkan tirainya dan sepanjang penganjuran kita telah merekodkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung berbanding sasaran hanya 30,000.

“Penganjuran julung kali ini nyata mendapat sambutan amat menggalakkan, selain itu masyarakat setempat turut mendapat manfaat daripada program diadakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shaharul Azuar, festival itu bermula dengan perasmian menerusi acara simbolik penurunan perahu tradisional dari Hunan, China di Sungai Melaka dalam daerah Melaka Tengah sebelum siri diteruskan di daerah Jasin dan Alor Gajah.

“Pemilihan Taman Ekstrem Tasik Chinchin sebagai lokasi festival juga bertetapan apabila turut menawarkan pelayaran dengan Eco Cruise Tasik Chinchin.

“Kemuncak festival yang berlangsung di daerah Alor Gajah menyaksikan Jeti Telok Berembang menjadi lokasi perarakan 30 buah perahu berhias oleh komuniti nelayan darat yang menyusuri Sungai Linggi.

“Untuk kali ini kita menerima penambahan penyertaan berbanding penganjuran sebelum yang hanya 20 orang ini menunjukkan semangat mereka bersama PPSPM amat baik,” katanya.

Jelasnya, lebih menarik Festival Sungai Melaka 2026 turut menawarkan pelbagai aktiviti air percuma sempena kemuncak Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang berlangsung di Pantai Tanjung Bidara, hujung minggu lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post ANAK MUDA DIPELAWA MERIAHKAN MUSYAWARAH NASIONAL 3.0
Next post CADANGAN BERHUBUNG IPD HANG TUAH JAYA SUDAH DIANGKAT KE BUKIT AMAN