BANGGA KAMPUNG PULAU SEMAKIN DIKENALI SELEPAS ANAK JATI TERAJUI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

TANJUNG BIDARA 23 September – Jika dahulu Kampung Pulau sekadar sebuah perkampungan biasa yang tidak begitu dikenali, kini namanya semakin disebut sebagai tempat kelahiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Perubahan itu turut dirasai penduduknya, termasuk Hawi Mahmud, 64, yang mengenali Ab Rauf sejak kecil dan menyaksikan sendiri perjalanan anak kampung berkenaan daripada seorang kanak-kanak yang membesar di situ sehingga diberi amanah menerajui Melaka.

“Daripada kecil kita memang dah kenal beliau. Nakal-nakal dia, kita tahulah macam mana, tetapi apabila beliau dah jadi pemimpin, Alhamdulillah, kampung kita ada seorang pemimpin.

“Tak sangka daripada kampung kita boleh lahirkan seorang Ketua Menteri Melaka,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Terbuka, Kampung Pulau, di sini.

Menurut Hawi, antara perubahan paling ketara dirasainya ialah Kampung Pulau kini semakin dikenali apabila pelbagai program diadakan di kawasan berkenaan, termasuk menerima kunjungan tetamu kenamaan.

“Dulu mana ada orang kenal Kampung Pulau, tetapi sekarang semua orang tahu Kampung Pulau.

“Yang di-Pertuan Agong datang. TYT (Yang di-Pertua Negeri Melaka) pun datang. Dahulu mana ada dan sejak beliau jadi Ketua Menteri, orang-orang ‘besar’ datang ke sini. Alhamdulillah, kampung kita mula dikenali,” katanya.

Bagi Hawi, perkembangan itu memberikan kebanggaan tersendiri kepada penduduk kerana kampung tempat mereka membesar kini turut menjadi perhatian di peringkat negeri.

Lebih daripada itu, beliau turut melihat sendiri perubahan yang dibawa menerusi beberapa inisiatif Kerajaan Negeri, termasuk sistem kubur digital yang menurutnya memberi kemudahan kepada waris untuk mengenal pasti lokasi pusara ahli keluarga.

“Kalau kita jarang balik kampung, kita sendiri pun kadang-kadang tidak tahu kubur datuk nenek kita di mana. Bila ada inisiatif kubur digital, kita boleh tahu lokasi malah boleh beritahu anak cucu kita di mana, senang mereka cari,” katanya.

Sementara itu, bagi Rosnani Talib, 74, hubungan dengan Ab Rauf bukan sekadar sebagai penduduk kampung, malah mereka mempunyai pertalian kekeluargaan apabila ibu beliau dan ibu Ketua Menteri adalah adik-beradik.

Rosnani berkata, Ab Rauf membesar bersama keluarga mereka sejak kecil, menyebabkan hubungan kekeluargaan itu kekal rapat walaupun kini beliau memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, antara kenangan yang masih diingati ialah ketika Ab Rauf sering membantunya untuk ke sesuatu tempat dengan membawa kereta.

“Anak saya masih kecil waktu itu, beliau selalu datang. Kalau saya hendak pergi mana-mana, beliau datang ambil dengan kereta.

“Kita dulu tak ada kereta. Jadi bila dia datang ambil, memang senanglah,” katanya.

Rosnani berkata, dari sudut kebajikan pula, beliau melihat Ab Rauf sebagai pemimpin yang mudah didekati masyarakat dan tidak menjadikan kedudukannya sebagai penghalang untuk bertemu rakyat.

“Senang orang nak jumpa dan beliau pun macam tak ada pilih-pilih. Kalau ada apa-apa (masalah), bolehlah kita jumpa dan cakap,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

629
Kongsi :
Previous post CADANGAN BERHUBUNG IPD HANG TUAH JAYA SUDAH DIANGKAT KE BUKIT AMAN
Next post LAGA BADAI SELAT MELAKA HIMPUN LEBIH 500 PESILAT