
MELAKA HARGAI JASA PESARA POLIS
SERI BENDAHARA 22 September – Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah lebih RM300,000 kepada pesara dan persatuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka sebagai tanda penghargaan atas jasa serta pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat menjaga keamanan negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perhatian dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keluarga besar pesara polis tidak akan terhenti setakat sumbangan, namun akan diteruskan menerusi pendekatan menyantuni serta mendengar keperluan mereka.
“Sebagai tanda penghargaan atas segala jasa dan pengorbanan sepanjang berkhidmat, sumbangan RM200,000 disampaikan kepada para pesara polis yang bersama-sama kita.
“Selain itu, empat persatuan pesara polis turut menerima sumbangan peralatan antaranya katil, kerusi roda dan tongkat dengan nilai keseluruhan melebihi RM7,000 untuk dimanfaatkan oleh ahli yang memerlukan.
“Saya tahu, sumbangan ini tidak mungkin mampu membalas segala khidmat yang telah dicurahkan selama bertahun-tahun tetapi ia lahir daripada rasa kasih, penghargaan serta tanggungjawab saya untuk terus menjaga keluarga besar pesara polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pesara Polis Diraja Malaysia Negeri Melaka yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum, di Seri Bendahara, malam ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco serta Ketua Polis Melaka Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar.
Sementara itu, Ab Rauf turut mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM100,000 kepada empat persatuan pesara polis di Melaka.
“Mudah-mudahan apa yang kecil daripada saya ini membawa satu makna yang besar, bahawa selepas bersara sekalipun, jasa tuan-tuan dan puan-puan tetap dekat di hati dan sentiasa dalam ingatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


