
MELAKA CADANG WUJUD IPD HANG TUAH JAYA
SERI BENDAHARA 23 September – Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) baharu sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan dan perkhidmatan kepolisan di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan mewujudkan IPD Hang Tuah Jaya itu sedang diusahakan dengan kerjasama Ketua Polis Melaka Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar.
“Saya sedang bekerjasama dengan Ketua Polis Negeri untuk mewujudkan sebuah lagi IPD dalam Negeri Melaka iaitu IPD Hang Tuah Jaya.
“Jika diberi kepercayaan kembalinya semula saya mentadbir Melaka selepas pilihan raya akan datang, usul pertama saya membela rakyat dengan sebuah IPD baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pesara Polis Diraja Malaysia Negeri Melaka yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum, di Seri Bendahara, semalam.
Menurut Ab Rauf keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pasukan polis juga telah dizahirkan apabila IPD Melaka Tengah berjaya dipindahkan ke bangunan baharu di Batu Berendam.
“Semasa lawatan saya ke IPD Melaka Tengah, saya melihat sebuah bangunan warisan berada dalam keadaan usang menempatkan kekuatan seramai lebih 800 orang.
“Saya berazam untuk pindahkan dan ia berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan. Begitulah prihatin saya terhadap pasukan polis,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri meluangkan masa menyantuni dan meraikan lebih 800 orang pesara polis yang telah mengabdikan sebahagian besar usia mereka kepada negara dan masyarakat khususnya untuk Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


